TERENGGANU FC (TFC) berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan kedua menentang Stallion Laguna dengan kemenangan tipis 3-2 dalam perlawanan Piala AFC di Stadium Bola Sepak Binan, Laguna, Filipina pada Rabu.
Pada perlawanan pertama sebelum ini, skuad Peteh hanya mengutip satu mata di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terenganu, Terengganu apabila mengikat Stallion Laguna FC 2-2.
Skuad Sang Penyu bermula dengan tempo permainan yang agak perlawanan pada separuh masa pertama sehingga gawang yang dijaga penjaga gol, Suhaimi Husin dibolosi seawal minit ketiga oleh penyerang import, Junior Ngong Sam.
Pemain tengah menyerang Stallion Laguna, Griffin McDaniel menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah pada minit ke-14, yang jelas membawa kekecewaan kepada anak-anak buah Tomislav Steinbruckner.
Nasib sedikit menyebelahi skuad Peteh apabila tonggak pertahanan Laguna, Matthew Nierras terjaring bola ke gawang sendiri dan sekali gus memberi harapan kepada wakil negara itu untuk merapatkan jurang 2-1 pada separuh masa kedua.
Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut akhirnya berpeluang mencetak jaringan pertamanya dalam saingan Piala AFC selepas menerima hantaran bantuan dari Sony Norde pada minit ke-66 sekali gus menyamakan kedudukan.
Selepas menjadi pengumpan, giliran Sony meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-86 apabila larian solonya membawa bola berpeluang untuk melakukan percubaan tepat ke arah gawang Stallion Laguna.
Jaringan pemain dari Haiti itu menunjukkan kebangkitannya selepas pada minit ke-57, meskipun Sony baru sahaja mengalami sedikit kecederaan ekoran insiden pelanggaran dengan pertahanan Laguna, Miguel Mendoza.
Menerusi siaran langsung di Sooka, pelanggaran tersebut mengakibatkan pemain berusia 34 tahun melanggar papan iklan di gelanggang tersebut.
Kemenangan di laman pasukan tuan rumah itu memberi tiga mata kepada Terengganu dalam aksi Kumpulan G Piala AFC dan peluang cerah menanti skuad Sang Penyu untuk mara ke peringkat seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram