Selain aura penyokong, Kim Swee perlu terjemah 2 elemen jika berhasrat lunas misi balas dendam


  • Podium
  • Khamis, 09 Nov 2023

Anak-anak buah Kim Swee jelas kecewa dengan kekalahan yang dialami ketika beraksi di Vietnam bulan lalu. — Facebook/Sabah FC

TUGASAN berat menanti skuad Sang Badak dalam saingan Piala AFC apabila mereka bakal berdepan kelab Vietnam, Hai Phong FC dalam aksi keempat Kumpulan H.

Perlawanan itu pastinya menjadi tumpuan buat penyokong Sabah FC setelah perlawanan sebelum ini menyaksikan kelab Liga Super tersebut tewas di tempat lawan dengan keputusan 2-3 pada 25 Oktober lalu.

Kekalahan berkenaan menyaksikan pasukan Borneo terbabit jatuh ke tangga kedua kumpulan sementara kelab Vietnam itu naik ke kedudukan teratas.

Meskipun masih terdapat tiga perlawanan perlu diharungi, Sabah FC pastinya tidak mahu mencicirkan sebarang mata dengan jurang rapat antara satu lama lain.

Tidak cukup dengan itu, kegagalan untuk meraih kemenangan akan menutup peluang buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk menempah slot ke Piala AFC musim depan.

394257061_718936603606367_2317113800626750823_n

Skuad Sang Badak pulang dengan tangan kosong ketika berdepan Hai Phong FC bulan lalu. Facebook/Sabah FC

Sekiranya perkara berkenaan berlaku, mereka pastinya akan berdepan kesukaran untuk menarik lebih banyak peluang pelaburan dan pemain baharu.

Jadi, untuk memastikan kemenangan mampu diraih, persediaan rapi pastinya sedang direncanakan dengan menilai kelebihan dan kelemahan Hai Phong FC.

Pengalaman Kim Swee pastinya akan menjadi kunci untuk pertembungan tersebut dalam memilih kesebelasan utama dan pendekatan taktikal terbaik.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga kelebihan lain boleh diambil Kim Swee dalam misi mereka untuk membalas dendam.

1. Guna kelebihan laman sendiri

Setakat ini, Sabah FC hanya beraksi sekali di Stadium Likas, Sabah untuk aksi Piala AFC, iaitu ketika berdepan Hougang United dalam perlawanan pembukaan kumpulan.

Perlawanan terbabit menyaksikan puluhan ribu penyokong sendiri hadir bagi memberi semangat meskipun cuaca tidak berada dalam keadaan terbaik.

Kehadiran mereka pastinya akan menaikkan lagi semangat buat kesemua pemain untuk beraksi dengan bersemangat sepanjang 90 minit permainan.

399381029_726586809508013_6573262699241198049_n

Sabah FC pastinya lebih mengetahui kelebihan beraksi di tempat sendiri. Facebook/Sabah FC

Tidak cukup dengan itu, kehadiran penyokong juga dijangka akan menjatuhkan moral pihak lawan yang kemudiannya akan berasa gugup di atas padang.

Pihak pengurusan Sabah FC boleh mencari pendekatan terbaik bagi memastikan Stadium Likas mampu dipenuhi untuk aksi getir berkenaan memandangkan kehadiran mereka sedikit terjejas kebelakangan ini.

Selain itu, beraksi di laman sendiri juga mempunyai kelebihan apabila pemain lebih berpengalaman menggunakan rumput dan suasana berbanding pasukan pelawat.

Jika Kim Swee mampu mencari jalan untuk menggunakan elemen-elemen tersebut, tiada sekatan buat skuad Sang Badak mengumpul tiga mata penuh.

2. Elak leka jika mendahului awal

Berdasarkan laporan Astro Arena, Kim Swee menegaskan bahawa anak-anak buahnya perlu fokus dan tidak boleh leka sepanjang 90 minit permainan.

Ia merupakan satu laungan yang cukup penting daripada jurulatih berpengalaman itu apabila skuad Sang Badak sudah beberapa kali diserang 'penyakit' itu.

Antara contoh terbaik adalah ketika kempen Piala Malaysia mereka, lebih-lebih lagi semasa bermain di stadium sendiri untuk aksi suku akhir berdepan Perak FC.

395825918_718936216939739_7943660931811869375_n

Kim Swee pastinya mahu anak-anak buahnya untuk kekal fokus sepanjang permainan. Facebook/Sabah FC

Meskipun mengawal permainan, kelekaan menyaksikan benteng pasukan dibolosi dengan kegagalan untuk bangkit daripadanya mengesahkan nasib mereka daripada pertandingan.

Sabah FC perlu memberi perhatian penuh dengan kapten pasukan, Park Tae-su boleh memainkan peranan dalam aspek berkenaan dengan menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukannya.

Rekod jaringan Hai Phong FC dalam Piala AFC 2023/24 juga perlu diberikan perhatian memandangkan kelab Vietnam itu sudah menjaringkan tujuh gol setakat ini.

Jadi, pendekatan terbaik untuk pertembungan itu adalah dengan mendapatkan jaringan awal dan memberikan tumpuan penuh bagi mengelak benteng sendiri dibolosi.

3. Pilih kesebelasan utama terbaik

Seperti mana sudah dibincangkan di atas, Kim Swee pastinya sudah memilih pemain terbaik untuk diturunkan pada Khamis melihat kepada pengalamannya.

Namun, adalah tidak salah untuk memberikan pandangan berdasarkan harapan serta cadangan orang ramai berdasarkan tiga perlawanan pertama Piala AFC mereka.

Berdasarkan aksi berdepan Hai Phong FC sebelum ini, Ko Kwang-min menjadi pilihan sebagai bek kanan dengan Rizal Ghazali hanya berada di bangku simpanan.

394072636_718265667006794_8406693335363794664_n

Rizal boleh diletakkan dalam kesebelasan utama Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Sekiranya terdapat ruang untuk membuat perubahan, bekas pemain kebangsaan itu dilihat mampu diturunkan di posisi tersebut dan memberikan sumbangan lebih baik.

Di samping itu, Sabah FC juga boleh memberikan peluang buat penyerang kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes untuk aksi di laman sendiri tersebut.

Meskipun tidak mempunyai sumbangan cukup besar sejak menyertai skuad Sang Badak, pemain berkenaan masih boleh menawarkan serangan lebih baik di mana-mana posisi sayap.

Jadi, sekiranya Kim Swee dapat membuat perancangan lebih rapi, terdapat kemungkinan mereka dapat membawa pulang tiga mata penting dalam perlawanan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram