SABAH dinobatkan sebagai juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 selepas berjaya mengikat Malaysia University Football Team (MUFT) 1-1 dalam aksi terakhir kejohanan tersebut di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Pasukan dari Borneo tanah air itu berhasil menjulang trofi berkenaan selepas berkongsi 13 mata dengan Kelana United FC di kelompok kedua teratas liga, bagaimanapun kelebihan jaringan memberi peluang kepada Sabah dinobat sebagai juara.
Jaringan dramatik menerusi Siti Nur Sasha Ain Abidinsha membuatkan Sabah berhasil berkongsi mata dengan MUFT yang mana tiga minit sebelum itu terlebih dahulu mencetak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-84.
Selain daripada kejayaan membawa pulang trofi LWN 2023, perjuangaan Sabah di kejohanan tersebut juga bertambah manis apabila dua pemainnya iaitu Asma Junaidi sebagai penjaga gol terbaik dan Usliza Usman dipilih Pemain Terbaik liga.
Usliza yang juga merupakan antara penjaring terbanyak pasukan Sabah untuk LWN musim ini tidak sangka akan mendapat pengiktirafan dengan dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan kerana menyedari ada pemain yang lebih layak.
Usliza mencetak empat jaringan gol sepanjang kejohanan berlangsung. — Facebook/FAM
"Jujur saya tidak pernah merasai kejuaraan untuk pasukan dan negeri saya sendiri. Alhamdulillah tahun ini rezeki kami.
"Saya tak sangka yang saya akan dapat MOTM (Man Of The Match) sebab ramai lagi pemain yang bagus.Saya pun tak sangka tapi itulah rezeki kan," katanya ketika ditemui selepas aksi akhir perlawanan.
Pemain yang mesra dengan sapaan Togo itu juga berkongsi bahawa dia memilih untuk berjuang bersama Sabah di pusingan akhir walaupun menyedari status kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya.
Justeru itu, penyerang kelahiran Sandakan tersebut tidak meletakkan harapan tinggi untuk beraksi bersama skuad kebangsaan berikutan dia perlu menunggu keadaan kesihatannya yang kini masih perlu rawatan susulan.
"Saya tak tahu lagi sama ada coach (Soleen Al-Zoubi) panggil atau tidak dan kecederaan. Sebab sekarang pun saya ada kecederaan. Saya kena buat rawatan dan tidak pasti bila akan pulih sepenuhnya.
"Dengan keadaan saya main tadi, memang saya main saja 100 peratus walau saya cedera. Atas kemahuan sendiri sebab saya nak bantu pasukan untuk menjuarai liga. Insya-ALLAH saya bersama Sabah lagi musim depan," jelasnya.
Antara aksi Usliza (kiri) dan Eva Olivianie (kanan) dalam perlawanan terakhir LWN 2023. — Facebook/FAM
Sementara itu, tonggak pertahanan MUFT, Eva Olivianie Antinus pula optimis akan bangkit kembali pada musim depan dan menganggap LWN 2023 adalah medan terbaik untuk mencungkil ramai pemain untuk pasukan kebangsaan.
MUFT mengakhiri saingan LWN musim ini di kedudukan ketiga liga dengan merekodkan tiga kemenangan, tiga seri dan mencatat dua kekalahan dari lapan perlawanan, selain mengutip sebanyak 12 mata.
"Apapun yang kami lalui, saya bersyukur. Sebab ini adalah proses untuk menjadi lebih baik. Mungkin bukan rezeki kami tidak menang. Just be positive and look forward. Saya sangat gembira sebab dapat peluang main di LWN 2023.
"Ini adalah peluang lagi untuk lebih yakin bagi main bersama skuad kebangsaan. Ini ada peluang lebih besar untuk kami. Saya bersyukur dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia dan semua pengurusan yang bekerjasama dengan FAM," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram