Seperti diduga, final Piala Malaysia berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, harga tiket saja belum tahu


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

JDT dan Terengganu dijadual akan bertemu pada 9 Disember 2023 bagi pentas akhir Piala Malaysia. — Facebook/JDT

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa final Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC bulan depan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di Kuala Lumpur.

MFL menerusi catatan di Facebooknya memaklumkan sepak mula aksi akhir antara dua gergasi bola sepak negara itu ditetapkan pada 9 malam, 8 Disember ini.

Bagaimanapun, MFL belum mengumumkan harga tiket bagi aksi berkenaan.

Juara edisi 2017, 2019 dan 2022, JDT yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut, mara ke final selepas mencatatkan kemenangan agregat 12-2 ke atas Perak FC pada separuh akhir.

MFL

Aksi final Piala Malaysia akan berlangsung di Bukit Jalil. — Facebook/MFL

Terengganu yang merupakan juara edisi 2001, mengesahkan slot ke final menerusi kemenangan 4-2 secara agregat ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC.

Kualiti rumput baharu di Stadium Nasional menerima kritikan pada Pestabola Merdeka bulan lepas, yang merupakan kejohanan pertama diadakan di lokasi berkenaan selepas ditutup sejak Mac bagi menaik taraf padang menggunakan rumput baru jenis Zeon Zoysia.

Dalam catatan sama, MFL mengumumkan tarikh dan venue bagi perlawanan akhir MFL Challenge Cup antara PDRM FC dan Kuching City FC.

Skuad Sang Saka Biru akan menjadi tuan rumah final pertama pada 29 Nov di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala Kuching City menjadi hos final kedua pada 3 Disember di Stadium Negeri, dengan kedua-dua aksi akan bermula pukul 8.15 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram