PENYOKONG bola sepak tanah air pasti mengenali bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh yang pernah terlibat berkhidmat dalam beberapa kali Piala Dunia termasuklah pada saingan Piala Dunia 2022.
Kali pertama Subkhiddin ditugaskan selaku pegawai keempat di Afrika Selatan pada 2010 dan kemudiannya terlibat dengan Piala Dunia Brazil 2014 serta Rusia 2018 sebagai Instruktur Teknikal Pengadil.
Di sebalik semua pencapaian pengadil yang mesra dengan sapaan Cikgu itu pernah terpalit dengan satu insiden hitam sehingga memaksa beliau berhasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Memetik laporan media pada 7 November 2018, bekas pengadil FIFA itu membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatan yang disandang dalam badan induk berkenaan termasuk jawatan exco.
Ketika itu beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat setelah ahli keluarganya turut menerima kecaman hebat daripada penyokong bola sepak susulan pengadilan yang lemah oleh Suresh Jayaraman ketika aksi final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu FC (TFC) pada 27 Oktober 2018.
"Bapa saya sudah meninggal dunia dan ada segelintir peminat bola sepak yang menghamburkan kata-kata kesat kepada ahli keluarga saya dalam laman sosial dan saya rasa itu sudah cukup. Saya nak sumbangkan tenaga saya kepada bola sepak Malaysia tetapi bila tidak dihargai, saya minta maaflah, itu prinsip saya.
"Netizen ini kadang-kala saya lihat turut tidak beretika ketika membuat komen di laman sosial," katanya memetik laporan media pada kira-kira lima tahun lalu.
Jayaraman ketika dikeliling pemain Perak ketika final Piala Malaysia 2018. — Agensi
Pada masa itu, ramai penyokong terutamanya pengikut skuad Sang Penyu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Jayaraman yang dianggap membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk membatalkan dua gol Perak pada aksi final Piala Malaysia yang dikatakan sebagai jaringan sah.
Mutu pengadilan dari Jayaraman membuatkan TFC tersungkur di tangan Perak dan sekali gus mengesahkan kejuaraan Piala Malaysia 2018 menjadi milik The Bos Gaurus dengan keputusan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas aksi penuh perlawanan.
Ketika itu, Subkhiddin mempertahankan tindakannya memilih Jayaraman sebagai pengadil untuk aksi final tersebut sambil menambah pemilihan pengadil itu dibuat berdasarkan pengalaman luas dimilikinya dalam mengadili beberapa perlawanan Liga Malaysia sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram