Tiga strategi hidupkan peluang JDT kalahkan Ulsan Hyundai


  • Podium
  • Selasa, 07 Nov 2023

JDT perlu mendapatkan kemenangan ketika menentang Ulsan pada Selasa bagi mendapat peluang ke pusingan 16 ACL. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) pastinya kini sedang membina senjata tersendiri untuk mengalahkan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai bagi aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang dijadual berlangsung pada Selasa.

Aksi penting di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu bukan sahaja sebagai jalan bagi mendapatkan tiket ke pusingan seterusnya, malah ia adalah peluang Harimau Selatan untuk membalas dendam susulan kekalahan dalam perlawanan pertama.

Pada 24 Oktober lalu, juara Liga 1 Korea Selatan itu tidak mempunyai masalah untuk meraih mata penuh apabila menewaskan Harimau Selatan 3-1 dalam pusingan pertama Kumpulan I yang berlangsung di Stadium Ulsan Munsu.

Kumpulan I menyaksikan pasukan Jepun, Kawasaki Frontale berada di posisi pertama selepas memenangi tiga perlawanan diikuti Ulsan Hyundai di tempat kedua dengan enam mata dan JDT di tempat ketiga, hasil kemenangan ke atas kelab Thailand, BG Pathum United.

Walaupun di atas kertas, pasukan gergasi Korea Selatan itu dijangka boleh menewaskan juara bertahan Liga Super tersebut namun segalanya tidak mustahil kerana pada musim lepas, JDT membuat kejutan menewaskan Ulsan dalam kedua-dua aksi peringkat kumpulan.

Peluang tampak tipis jika melihat pada prestasi Ulsan Hyundai musim ini namun juara bertahan Piala FA tersebut masih berkesempatan merampas mata sekiranya Harimau Selatan melakukan strategi yang betul dalam aksi kedua itu.

Bagi menghidupkan semula peluang JDT ke peringkat 16 saingan ACL pada musim ini, berikut tiga strategi yang boleh dilakukan Harimau Selatan pada perlawanan kedua nanti;

1) Ubah line up

forestieri

Forestieri diperlukan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama. — Facebook/JDT

Pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari meletakkan Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Heberty Fernandes di bahagian serangan, namun percaturan itu kurang berhasil apabila tiada sebarang gol dicetak Harimau Selatan.

Bermula pada separuh masa kedua pula, pengendali Argentina itu membuat pertukaran drastik dengan mengeluarkan pemain tengah bertahan, Hong Wan dan digantikan Fernando Forestieri sebelum lapan minit kemudian, penyerang sayap itu membuat hantaran kepada Bergson untuk meraih gol pembukaan JDT.

Meskipun perubahan itu menyaksikan dua pemain dengan peranan berbeza digantikan, ia menjadi bukti bahawa Solari perlu membuat perubahan sekiranya mahu memburu gol.

Selain perlu meletakkan Forestieri sebagai kesebelasan utama menggantikan Hong Wan nanti, Solari juga boleh mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada Feroz Baharudin menjadi tonggak utama bertemu Ulsan Hyundai nanti.

Jika dibandingkan dengan Shane Lowry, pemain pertahanan muda negara itu lebih serasi bergandingan dengan ketua pasukan, Jordi Amat di bahagian bek tengah untuk mengekang jentera serangan skuad Tigers.

2) Ubah taktikal

solari

Solari pasti mempunyai rancangan sendiri untuk menang ke atas Ulsan Hyundai. — Facebook/JDT

Perlawanan pertama Harimau Selatan menentang Ulsan Hyundai boleh menjadi iktibar kepada Solari apabila mereka menggunakan taktikal 3-4-2-1, yang mana permainan sedikit bertahan itu memberi peluang kepada pasukan tuan rumah mendapatkan jaringan awal.

Beraksi sebagai pasukan pelawat yang memandang rendah kekuatan Ulsan Hyundai dan cuaca sejuk di Korea Selatan berkemungkinan menyukarkan untuk Harimau Selatan membuat permainan pantas serta memberi tekanan awal untuk memenangi bola.

Berbeza ketika aksi bertemu wakil Thailand, BG Pathum, Harimau Selatan membuat taktikal kebiasaan mereka iaitu 4-3-3 dan cara itu nyata berhasil apabila JDT mendapat dua jaringan awal pada separuh masa pertama.

Selain itu, pertemuan bertemu dengan Kawasaki Frontale di SSI juga menyaksikan Solari menggunakan taktikal sama sehingga sukar untuk kelab Jepun itu menguasai permainan dan akhirnya JDT hanya mengalami kekalahan tipis.

Oleh itu, kelebihan beraksi di laman sendiri pasti memberi peluang kepada Solari untuk menggunakan formasi 4-3-3 bagi meraih mata penuh, sekali gus membuka peluang kembali untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

3) Penyokong penuhkan stadium

penyokong jdt

Pemain ke-12 adalah kekuatan JDT pada aksi bertemu kelab Korea Selatan itu. — Facebook/JDT

Kekuatan sebuah pasukan bola sepak adalah sokongan padu daripada penyokongnya, yang mana kehadiran mereka dapat memberi tonik tambahan untuk barisan pemain dan sekali gus menjadi senjata menjatuhkan moral pemain lawan.

Barisan pemain, kejurulatihan dan pengurusan Harimau Selatan pasti mengharapkan gelanggang keramat JDT akan menjadi lautan merah biru kerana yakin elemen pasukan Harimau Selatan serta penyokong akan membawa perbezaan tersendiri dalam perlawanan penting itu.

Beraksi di gelanggang sendiri dan dibanjiri dengan penyokong membuahkan hasil apabila dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan pada saingan 2022, Harimau Selatan dengan mudahnya mendapatkan tiga mata penuh.

Justeru itu, misi mendapatkan kemenangan ke atas Ulsan Hyundai itu boleh dilaksanakan jika penyokong The Southern Tigers boleh mendapatkan penonton seramai 40,000 di Stadium Sultan Ibrahim sesuai dengan kapasiti gelanggang keramat JDT itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram