[VIDEO] Jadi sasaran utama kendali skuad Jang, Zainal Abidin pilih 'pasukan' lain


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Zainal Abidin merupakan Pengarah Teknikal juara Liga M3 Imigresen FC pada musim ini. — Facebook/Imigresen

WALAUPUN saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akan bermula pada April namun khabar angin mengenai perpindahan pemain dan jurulatih sudah mula menjadi topik utama perbualan para penyokong bola sepak tanah air.

Lebih mengujakan penyokong domestik, beberapa nama juga dijangka akan membuat penampilan semula ke Liga Super selepas musim ini tiada kelibat mereka kelihatan dalam saingan tertinggi Malaysia itu.

Antara nama besar dijangka akan membuat kemunculan semula ialah bekas Ketua Jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan yang difahamkan akan kembali menjawat jawatan sebagai pengendali pasukan Liga Super untuk musim depan.

Menerusi satu ciapan di Twitter (X), pemerhati bola sepak tanah air, T. Avineshwaran mengatakan bahawa Negeri Sembilan FC (NSFC) dikhabarkan sedang mengintai peluang untuk merekrut Zainal Abidin sekiranya khidmat K. Devan bersama skuad Jang akan berakhir.

"Jika K. Devan move on, Negeri Sembilan dalam misi untuk memilih Datuk Zainal Abidin Hassan untuk menjadi Ketua Jurulatih musim depan," katanya.

Di tengah-tengah khabar angin tersebut, bekas pengendali Sri Pahang itu nampaknya masih tenang melibatkan diri dengan sukan lain apabila beliau dilihat beraksi mewakili Arena All Stars untuk perlawanan persahabatan bola jaring.

Sebelum perlawanan akhir antara Johor Jewels menentang Kuala Lumpur (KL) Wildcats bermula, aksi persahabatan bola jaring antara Arena All Stars menentang ERAvengers dihidangkan kepada penyokong yang hadir di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.

Bekas pemain kebangsaan itu bersama beberapa kakitangan Astro Arena lain beraksi dengan cukup baik dan seterusnya memberikan kemenangan 8-55 menewaskan pasukan lawan dalam aksi persahabatan tersebut.

Gelagat Zainal Abidin dalam aksi persahabatan itu jelas menunjukkan bahawa beliau berkemungkinan masih belum memikirkan untuk kembali ke Liga Super sekiranya benar dia menerima tawaran dari skuad Jang.

Selepas meninggalkan Penang FC pada musim lepas, Zainal Abidin aktif menjadi pundit dan beliau juga diberi kepercayaan menjadi Pengarah Teknikal juara Liga M3 Imigresen FC pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram