Liverpool perlu elak badi jika mahu menang ke atas Luton Town


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Anak-anak buah Jurgen Klopp pastinya tidak mahu mencicirkan lebih banyak mata dalam pusingan awal EPL kali ini. — Agensi

LIVERPOOL memiliki peluang cukup cerah untuk meraih kemenangan kelapan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 apabila mereka akan berdepan pasukan bergelut, Luton Town pada Isnin.

Empat kemenangan sepanjang lima perlawanan terakhir dalam kesemua pertandingan menjadi bukti skuad The Reds berada dalam prestasi cukup baik.

Nasib berbeza pula dialami tuan rumah apabila mereka hanya meraih satu kemenangan dalam EPL musim ini, iaitu ketika berdepan Everton pada 30 September lepas.

Perbezaan tersebut pastinya memberi keyakinan buat anak-anak buah Jurgen Klopp dalam usaha mereka mengukuhkan lagi kedudukan dalam kelompok empat pasukan teratas.

Bagaimanapun, statistik lalu menunjukkan bahawa Liverpool sering bergelut setiap kali berdepan pasukan EPL yang baru sahaja 'naik pangkat' dalam aksi di tempat lawan.

_128957654_26fc3b3bb6761e1fc920358d4565633521f36088

Skuad The Reds tewas ketika berdepan Bournemouth di tempat lawan dalam saingan EPL musim lalu. — Agensi

Menurut laporan Daily Mail, pasukan Merseyside terbabit kerap berdepan cabaran ketika bertemu 'pencabar baharu' dengan pandangan itu dibuktikan musim lalu.

Aksi pembukaan EPL 2022/23 menyaksikan Liverpool mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Fulham sebelum mereka kalah tipis kepada Nottingham Forest di tempat lawan.

Nasib buruk itu turut dialami ketika skuad The Kop berdepan Bournemouth apabila mereka kalah dengan keputusan 0-1 dalam aksi di Stadium Vitality, England.

Musim ini, Liverpool masih belum berdepan mana-mana pasukan yang beraksi dalam Liga Kejuaraan 2022/23 dengan aksi berdepan Luton Town di Stadium Kenilworth Road, England akan menjadi cabaran pertama mereka.

Dua lagi kelab yang baru sahaja 'dinaikkan pangkat' musim ini adalah Sheffield United dan Burnley dengan aksi di tempat lawan berdepan kedua-dua pasukan itu bakal berlangsung pada Disember. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram