Felda United perlu kembali demi kemeriahan bola sepak Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Felda United pernah dibarisi pemain-pemain bintang di negara ini. — Facebook

PERKARA pertama yang menjengah pemikiran apabila melihat isu tunggakan gaji yang berlaku dalam Liga Malaysia, adalah sejauh mana kesediaan setiap pasukan terutamanya dari segi kewangan untuk bersaing di setiap musim baharu nanti.

Kesedaran kebanyakan pasukan mengenai perkara ini nampak seperti masih terlalu rendah walaupun saban tahun kita dimomokkan dengan pelbagai isu yang berkaitan kewangan.

Malah sebelum ini dalam Liga Malaysia, sudah ada banyak kes lampau pasukan bergelut menangani masalah kewangan namun bezanya mereka membuat keputusan menarik diri lebih awal agar tidak menimbulkan konflik di kemudian hari.

Meskipun pasukan-pasukan tersebut diasaskan oleh syarikat-syarikat ternama dalam Malaysia ia masih belum mampu untuk mempersiapkan diri dengan kewangan lebih kukuh dan meyakinkan.

Tetapi pasukan yang menarik diri ini mempunyai sejarah besar sebagai pesaing Liga Malaysia sekali gus memberikan kemeriahan dalam kancah bola sepak negara ini.

Perlu bermula dari bawah, Majoriti senaraikan tiga pasukan yang wajar kembali dalam Liga M untuk menambah kemeriahan bola sepak negara:

pkns

PKNS FC dibubarkan bagi beri laluan untuk dijadikan skuad simpanan Selangor FC. — Facebook

1. Felda United

Selepas diselubungi beberapa isu termasuk konflik dalaman, Felda United mengumumkan pasukan tersebut tidak akan menyertai Liga Super mahupun Liga Perdana pada musim 2021.

Felda United sebuah kelab berdaya saing tinggi yang mana pernah memenangi Liga Perdana 2010 dan 2018, juga naib juara Piala FA 2007 dan merupakan antara pasukan yang pernah bermain di Piala AFC.

Penarikan diri Felda United mendapat perhatian luas pemerhati bola sepak, malah MFL sendiri merayu supaya Felda United memikirkan semula keputusan menarik diri itu.

Antara pencapaian terbaik Felda United sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia ialah naib juara Liga Super 2016 dan juara Liga Perdana sebanyak dua kali pada 2010 serta 2018.

sime darby

Sime Darby beraksi dalam Liga Super selama dua musim dari 2014-2015.

2. Sime Darby

Sime Darby kembali mengesahkan tiket beraksi di Liga Perdana apabila skuad dibimbing Ahmad Yusoff menutup musim 2017 dengan cukup cemerlang dengan menjuarai Piala FAM, menewaskan UKM FC.

Tetapi hasrat menyaksikan kelibat pasukan digelar ‘the giant-killers’ itu tidak kesampaian apabila mereka memilih mengucapkan selamat tinggal dengan kos pengurusan pasukan yang meningkat dilaporkan sebagai punca utama.

Pasukan itu mewarnai bola sepak Malaysia sejak 2010 dan mula mencipta nama selepas muncul juara Piala FAM tahun tersebut sebelum layak beraksi dalam saingan Liga Premier selama tiga tahun dari 2011-2013.

Sime Darby beraksi dalam Liga Super selama dua musim dari 2014-2015 sebelum tersingkir ke Liga Perdana pada 2016.

Antara pencapaian paling membanggakan pasukan ini adalah mara ke final Piala FA pada 2012 yang mana mereka kecundang 0-1 hasil jaringan tunggal Mohamed Ghaddar.

Mereka juga turut pernah dinobatkan sebagai kelab bola sepak terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun yang sama.

felda

Felda United pernah menjadi antara pencabar terkuat pasukan JDT. — Agensi

3. PKNS FC

PKNS menjadi mangsa trend terbaru yang melanda bola sepak Malaysia apabila banyak pasukan 'dimatikan' untuk dijadikan kelab simpanan.

Datuk K. Rajagopal membawa kelab ini meraih catatan tertinggi apabila mendapat tempat ketiga, setahun sebelum dijadikan kelab penyuap Selangor.

Pasukan ini juga merupakan juara Liga Perdana pada tahun 2011 dan tujuh kali menjadi empat pasukan terbaik di divisyen kedua Liga M sepanjang sembilan tahun berada di Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram