MANCHESTER United mengalami kekalahan kelima dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila tunduk di laman sendiri kepada Manchester City pada Ahad.
Keputusan pengendali The Red Devils, Erik ten Hag untuk menggugurkan beberapa tonggak pasukan jelas memberi impak apabila mereka ketinggalan pada minit ke-26 menerusi penalti Erling Haaland.
Derita tuan rumah diteruskan apabila penyerang antarabangsa Norway itu menggandakan kelebihan skuad The Cityzens pada minit ke-49 sebelum Phil Foden menjaringkan satu gol beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Keputusan tersebut menyaksikan harapan Manchester United untuk terus mendaki carta EPL terbantut dengan mereka kini berada di tangga kelapan selepas 10 perlawanan.
Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong terus memberi tekanan terhadap pihak pengurusan kelab yang gagal membawa nafas baharu buat kelab itu.
Tindakan Antony yang menendang Doku menunjukkan sikapnya yang tidak profesional.
Tidak cukup dengan itu, legenda kelab, Gary Neville juga tampil mengkritik pasukannya dengan pemain sayap mereka, Antony menjadi sasaran utamanya.
Dalam ulasan yang dibuat, Neville melihat pergelutan antara penyerang Brazil itu dengan pemain Manchester City, Jeremy Doku membuktikan skuad The Red Devils mempunyai isu disiplin.
"Ia adalah perkara yang tidak dapat diterima dan amat memalukan. Sekiranya saya merupakan seorang pengadil, saya akan mengarahkannya untuk tinggalkan padang.
"Manchester United seperti tidak mempunyai hala tuju pada babak kedua, separuh daripada penyokong di Stadium Old Trafford pulang kerana tahu akan kemampuan Manchester United," katanya.
Dalam saingan EPL musim ini, Antony masih belum mencatatkan sebarang gol mahupun bantuan jaringan dengan Manchester United terus tumpul dari segi serangan.
Skuad The Red Devils ketika ini memiliki antara jentera serangan tercorot dalam EPL apabila mereka hanya menjaringkan 11 gol.
Mereka bakal berdepan Newcastle United di laman sendiri untuk aksi Piala EFL pada Khamis sebelum meneruskan aksi liga menentang Fulham pada Sabtu depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram