Perkhabaran awal Kelantan kekal di Liga Super 2024 buat fans Perak tak senang duduk


  • Podium
  • Rabu, 01 Nov 2023

Kelantan FC dan Perak FC merupakan dua pasukan tempatan yang pernah mengalami isu kewangan beberapa tahun kebelakangan ini. — Facebook/Perak FC

BARU-BARU ini, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan terdapat kemungkinan tiada pasukan Liga M3 akan menyertai Liga Super.

Pengumuman tidak rasmi tersebut sedikit sebanyak mengesahkan bahawa tiada pasukan dalam divisyen bola sepak teratas tanah air akan tersingkir pada penghujung musim.

Meskipun tiada pengesahan mengenainya, keputusan tersebut akan menyaksikan pasukan tercorot Liga Super, Kelantan FC akan kekal pada 2024.

Langkah berkenaan pastinya menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan kelab Pantai Timur tersebut berdepan pelbagai masalah dalaman sepanjang tahun.

Ini termasuk isu tunggakan gaji yang dialami sehingga menyebabkan pemain senior dan import meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) sebelum memasuki jendela perpindahan.

1269060

Perkhabaran Stuart menimbulkan pelbagai respons dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Kemelut terbabit kemudiannya memberi impak cukup buruk terhadap persembahan pasukan di atas padang dengan mereka hanya mencatatkan lapan mata daripada 22 perlawanan.

Selain itu, rekod pertahanan Kelantan FC merupakan antara yang tercorot dalam sejarah Liga Super apabila mereka sudah dibolosi sebanyak 95 kali setakat ini.

Jadi, keputusan awal MFL untuk mengekalkan pasukan berkenaan pada musim akan datang sememangnya ditolak 'mentah-mentah' daripada majoriti peminat bola sepak tanah air.

Malah, peminat setia Perak FC turut hadir mempersoalkan perkara itu dengan mengatakan nasib mereka sebelum ini tidaklah sebaik skuad TRW.

Penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG), Faiz Malik di Facebook menegaskan bahawa kekerapan badan pengelola bola sepak tempatan berkenaan dalam mencari kaedah penyelesaian perlu dipertikaikan.

2002 KELANTAN FC

Skuad TRW mengalami masalah tunggakan gaji yang cukup kronik musim ini. Facebook/TRW Kelantan FC

"Sebelum ini diumumkan bahawa tiada penyingkiran. Tiba-tiba sahaja umum yang lain pula. Masih lagi ingat bahawa Perak FC pernah dikenakan pemotongan mata," katanya.

Mohd Razis turut mempertikaikan pandangan awal itu apabila skuad TBG mengalami denda lebih berat sehingga tersingkir ke Liga Perdana.

"Apa ni? Perak FC kena potong mata rasanya dahulu. Masalah gaji Kelantan FC masih belum selesai dan diumumkan mungkin kekal dalam Liga Super?" katanya.

Bagi Aziq Haziq pula, tindakan sama perlu diberikan terhadap skuad TRW memandangkan Perak FC pernah dipotong mata sehingga 'jatuh' ke divisyen kedua.

"Musim lepas Perak FC berapa mata agaknya kena potong? Itulah sebabnya kita berada di kedudukan kesembilan Liga Perdana sehingga penghujung musim," tulisnya.

01perak_1648803171

Perak FC dikenakan pemotongan mata ketika masih berada dalam Liga Perdana musim lalu. Facebook/Perak FC

Dalam saingan Liga Perdana 2022, pasukan Utara tanah air tersebut dikenakan pemotongan mata sebanyak dua kali sehingga membawa jumlah pemotongan kepada sembilan mata.

Tindakan itu dibuat berikutan masalah tunggakan gaji beberapa bulan yang dihadapi mereka pada musim sebelumnya di bawah badan pengurusan berbeza.

Ia sekali gus menyebabkan skuad TBG berada di kedudukan kedua tercorot liga dengan hanya lapan mata dikutip daripada 18 perlawanan.

Namun, perubahan format daripada MFL awal musim lalu menyaksikan Perak FC layak secara automatik ke Liga Super selepas hanya semusim dalam divisyen kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram