'Ivan Mamut bahaya', fans harap JDT awasi tonggak Sang Penyu aksi final Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Sebahagian aksi pemain Sang Penyu meraikan kemenangan selepas menewaskan KL City FC di laman sendiri. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC berjaya mengesahkan tempat untuk beraksi di peringkat akhir Piala Malaysia 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur City (KL) FC pada aksi separuh akhir kedua dengan keputusan 2-1 sekali gus menjadikan agregat 4-2 pada Jumaat.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu menyaksikan penyokong setia Sang Penyu meraikan kegembiraan apabila pasukan kesayangan mereka mara ke final.

Pada aksi di gelanggang keramat skuad Sang Penyu itu, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner dilihat mengawal permainan dengan begitu baik dengan tidak memberi ruang kepada The City Boys.

Dalam perlawanan babak pertama, kedua-dua pasukan menunjukkan aksi persembahan yang baik dengan melakukan serangan demi serangan untuk meraih jaringan.

Ivan

Dua jaringan Ivan Mamut bantu Terengganu mara ke final Piala Malaysia 2023. — Facebook/TFC

Bagaimanapun, sebelum berakhir babak pertama, Terengganu membuat kejutan menerusi jaringan cantik yang dihasilkan oleh penyerang berbisa, Ivan Mamut.

Ivan Mamut berjaya meletakkan Sang Penyu berada dalam kedudukan selesa selepas melepaskan rembatan kencang dengan menggunakan kaki kiri merobek pintu gawang lawan sekali gus menewaskan Kevin Ray Mendoza pada minit ke-42.

Keputusan kekal 1-0 dengan Terengganu mendahului pada babak pertama sebelum kedua-dua pasukan dilihat memasuki bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, dengan kemasukan penyerang berbisa KL City FC, Tchetche Kipre yang menggantikan Sebastian Avanzini melihat perubahan kepada corak permainan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Romel Morales mencetak gol pertama di laman lawan pada minit ke-51 sekali gus berjaya mengurangkan defisit jaringan.

Tidak mahu mengecewakan penyokong, Ivan Mamut bagaimanapun sekali lagi memukau penonton yang hadir apabila mencetak jaringan kedua pada minit ke-67 dengan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol The City Boys.

Keputusan kekal 2-1 di Gong Badak itu diiringi oleh sorakan gemuruh dari penyokong setia Terengganu FC yang melihat sendiri pasukan mereka layak ke final Piala Malaysia.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Johor Darul Takzim (JDT) berharap agar anak buah kendalian Esteban Solari tidak memandang rendah terhadap pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.

"Ivan Mamut ni bahaya. JDT kena awasi dia nanti," kata Amin Ahmad.

"Padulah Terengganu, amaran awal buat JDT," kata Tarmizi Solusi.

"Lepas ni lawan JDT, player JDT jangan pandang rendah pula skuad Sang Penyu nanti," kata Amin Zahir.

Kemenangan bergaya itu sekali gus melihat Terengganu FC akan berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung pada 9 Disember nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram