[VIDEO] Lebih hebat berbanding Diaz, ketajaman Lucero depan gol jadi kerinduan penyokong JDT


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Lucero hanya beraksi semusim sahaja bersama JDT. — Agensi

SETIAP musim, Johor Darul Takzim (JDT) pasti akan membawa pemain-pemain yang berkaliber dan menyeronokkan untuk disaksikan setiap kali beraksi.

Bukan setakat pemain tempatan, malah JDT turut mempunyai pemain-pemain import yang hebat pada setiap musim. Setiap gerak langkah mereka sentiasa menghiburkan penyokong Harimau Selatan yang turun ke stadium.

Sejak 2013, pelbagai nama-nama besar hadir beraksi untuk JDT. Bermula daripada Pablo Aimar, Simone Del Nero, hinggalah ke Bergson da Silva serta Fernando Forestieri, mereka sentiasa meninggalkan impak maksimum kepada JDT.

Tetapi, ada satu nama yang sentiasa melekat dalam hati penyokong JDT hingga sekarang. Nama itu adalah Juan Martin Lucero.

Pemain dari Argentina itu beraksi untuk JDT selama semusim pada 2016. Walaupun tidak lama, tetapi impak yang ditinggalkan Lucero kepada Harimau Selatan sentiasa menjadi kerinduan penyokong mereka.

Gerak lincah pemain itu serta ketajaman di depan pintu gol sentiasa membuatkan penyokong JDT gembira setiap kali pergi melihat pasukan beraksi. Senang kata, apabila Lucero beraksi pasti dia akan gegarkan gawang lawan seperti dalam video perlawanan menentang Ayeyawady United dalam Piala AFC.

Malah, ada juga yang mengatakan pemain ini lebih baik daripada Jorge Pereyra Diaz, salah seorang pemain import JDT yang turut beraksi bersama-sama Lucero satu ketika dahulu.

"Lebih suka tengok dia main daripada Diaz di JDT. Mula-mula masuk JDT, dua, tiga perlawanan dia lambat panas. Selepas itu, hampir setiap perlawanan pasti akan jaringkan gol. Sayang (sekali), jodoh dia dengan JDT tak lama," kata penyokong JDT iaitu Azlan Jaybee.

Lucero dianggap sebagai pemain yang cukup sesuai dengan DNA JDT. Dia merupakan pemain yang sentiasa mengutamakan pasukan. Walaupun tajam di depan gol, tetapi Lucero turut membantu rakan sepasukan menghasilkan jaringan.

Selepas semusim, Lucero menyertai Club Tijuana di Mexico selepas JDT menjualnya pada harga €2.44 juta (RM12 juta). Kini beraksi di Brazil bersama-sama Fortaleza, Lucero terlepas peluang untuk mendakap mahkota kejuaraan Amerika Selatan.

Hal ini kerana, Lucero dan Fortaleza baru saja tewas pada perlawanan Copa Sundamericana kepada kelab Ecuador iaitu LDU Quito menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1. Lucero menjaringkan gol untuk pasukannya pada 90 minit masa sebenar perlawanan.

Copa Sundamericana merupakan kejohanan kelab Amerika Selatan kelas kedua selepas Copa Libertadores. Kejohanan ini setaraf dengan Piala AFC dan UEFA Europa League. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram