TIADA istilah mustahil dalam bola sepak apabila sentuhan Yusri Che Lah amat ditagih penyokong menjelang aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia, bertemu Johor Darul Takzim (JDT) yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.
Biarpun tumpas 1-4 di laman sendiri pada aksi separuh akhir pertama pada 19 Oktober lepas, perjuangan skuad Seladang perlu diteruskan demi membawa maruah serta lencana di dada di samping sokongan padu penonton The Bos Gaurus (TBG) yang mahu melihat keajaiban berlaku nanti.
Namun, ketiadaan Luciano Guaycochea selaku kapten pasukan Perak sedikit meresahkan penyokong yang amat menagih khidmat pemain kelahiran Argentina itu selepas dia dilayangkan kad kuning akibat kekasaran dilakukan terhadap Matthew Davies.
Biarpun kehilangan tonggak tengah berusia 31 tahun itu, anak-anak buah Yusri Che Lah dilihat masih berpeluang untuk melakar sejarah di Johor dengan aksi meyakinkan dipamerkan ketika membenam Kelantan FC 8-0 sebelum ini, bakal menjadi azimat terkuat buat Perak memperoleh kemenangan kelak sekali gus mengesahkan slot sebagai finalis edisi kali ini.
Beberapa taktikal serta strategi diyakini mampu menghasilkan keputusan positif di SSI dengan tiga percaturan di bawah, antara yang berpotensi untuk diketengahkan oleh pengendali Perak.
1. Taktikal menyerang ketika benam Kelantan
Skuad Seladang tampil bergaya apabila menumpaskan Kelantan FC pada aksi ke-23 Liga Super pada Sabtu lalu yang menyaksikan barisan serangan Perak mula membolosi ke gawang lawan seawal minit ke-13 menerusi Luka Milunovic.
Taktikal menyerang itu dijangka akan diteruskan dalam pertemuan menentang JDT nanti dengan potensi penyerang berketinggian 180 meter itu akan terus ditagih dalam menerjah ke gawang lawan.
Perak menang besar ke atas Kelantan dengan keputusan 8-0 di Stadium Perak, Ipoh, Perak. — Facebook/PerakFC
Ditambah pula dengan taktikal hantaran rendah yang digunakan pada perlawanan tersebut, nescaya ia mampu menghasilkan sesuatu dalam perlawanan nanti.
Biarpun skuad Harimau Selatan terdiri daripada barisan pertahanan import yang kental, hantaran pantas dan lintang yang tepat ke dalam kotak penalti JDT diyakini mampu disudahi dengan baik oleh pemain tinggi lampai itu.
2. Magis Wan Zack Haikal ditagih selaku kapten
Dengan pengalaman serta daya kepimpinan dimiliki, Wan Zack Haikal merupakan pemain yang paling berpotensi untuk diberikan tugas selaku ketua pasukan nanti.
Ketiadaan Luciano Guaycochea yang mengutip kad kuning pada perlawanan terdahulu membuatkan posisi ketua pasukan masih menjadi tanda tanya penyokong.
Wan Zack Haikal merupakan pemain berpengalaman yang layak diberikan mandat selaku ketua pasukan menentang JDT. — Facebook/PerakFC
Turut memiliki ledakan padu yang mampu membolosi gawang lawan, kebangkitan dipamerkan pemain itu semakin maraih perhatian penyokong selain turut mendapat kepercayaan Yusri Che Lah dalam beberapa perlawanan terdahulu.
Pemain sayap berusia 32 tahun itu membuktikan dirinya masih mampu mencabar kedudukan dalam pasukan selepas menghasilkan empat jaringan dan empat bantuan gol dalam 21 perlawanan bersama Perak musim ini.
3. Buru gol awal
Jaringan awal sebaik wisel permainan ditiup mampu meruntuhkan semangat mana-mana pasukan yang beraksi di atas padang.
Ia terbukti selepas penyerang utama Perak, Luka Milunovic berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-13 ketika menentang Kelantan sebelum ini.
Bermula detik itu, skuad Seladang dilihat terus menggerakkan asakan bertali arus ke kubu pertahanan lawan yang jelas kelihatan cemas dan goyah akibat jaringan awal tersebut.
Luka Milunovic merupakan peledak utama dalam pasukan Perak musim ini. — FAM
Ditambah pula dengan tekanan beraksi di depan penyokong sendiri, JDT dijangka akan berdepan dengan tekanan untuk memburu gol sekiranya dibolosi terlebih dahulu.
Aksi di tempat lawan sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh barisan pemain Perak yang berpotensi untuk menghancurkan harapan ribuan penyokong Harimau Selatan nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram