[VIDEO] Aniaya dan abai anak, ibu tunggal dan rakan serumah dijel 7 tahun


Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas tuduhan menganiaya budak pada Ogos lalu. — Bernama

SEORANG ibu tunggal dan rakan serumah dihukum penjara selama tujuh tahun bagi dua tuduhan aniaya dan abai anak lelaki berusia tujuh tahun pada Ogos lalu.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Rabu bagaimanapun merintahkan hukuman berjalan serentak.

Untuk rekod, kedua-dua suspek didakwa atas dua pertuduhan masing-masing mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak.

Bagi pertuduhan pertama, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan rakan warga Singapura, Awiin Chua, 30, didakwa mencapai niat bersama telah menganiaya kanak-kanak berkenaan yang berada di bawah jagaan mereka menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Pertuduhan kedua pula, dua wanita yang masing-masing seorang suri rumah dan juruteknik di sebuah kilang itu didakwa mencapai niat bersama telah mengabaikan kanak-kanak berkenaan yang di bawah penjagaan mereka.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang, Johor antara 1 Julai hingga 9 Ogos lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram