Kata-kata terakhir Bonai sebelum terbang tinggalkan Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Bonai tinggalkan Sang Kenari selepas menabur bakti selama tiga musim. — Instagram/bonaiii03

BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita mengenai pemergian pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin yang pastinya memberi tamparan hebat buat penyokong mereka.

Selepas tiga musim bersama-sama, pemain yang berasal dari Sarawak itu memilih untuk membawa haluan sendiri selepas sebelum ini menyertai Sang Kenari menerusi pinjaman daripada Selangor FC.

Difahamkan, Rodney Celvin atau gemar dengan panggilan Bonai itu memilih kembali ke negeri kelahirannya, Sarawak untuk menyertai Kuching City FC dengan kontrak dua tahun.

Dalam pada itu, laman penyokong, Sang Kenari 1924, sempat berkongsikan video untuk menghargai jasa dan bakti pemain pertahanan KDA FC itu sebelum meninggalkan bumi Kedah.

Bonai yang berkongsikan pengalaman sepanjang berada di Kedah itu turut sempat mengatakan alasan meninggalkan pasukan Hijau Kuning itu.

"Kenangan manis adalah sejak saya menyertai Kedah 2021, pahit manis kita semua lalui selama tiga tahun dan saya sangat seronok berada di Kedah.

"Keputusan yang saya buat sekarang adalah sebab-sebab tertentu," katanya.

Di samping itu, Bonai turut melahirkan ucapan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan KDA FC sepanjang dia menabur bakti di pasukan itu.

"Apa pun terima kasih kepada jurulatih, staf kejurulatihan dan pihak pengurusan kerana beri saya peluang untuk bersama Kedah," jelasnya.

Malah, Bonai sempat memberikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan untuk meneruskan perjuangan dalam menghadapi baki perlawanan musim ini.

"Saya ingin mengucapkan all the best kepada semua player, team and coaches untuk mengharungi perlawanan hingga akhir musim ini dan berada di Top 2 Liga Super.

"Kita yakin dengan pemain dan jurulatih yang ada sekarang adalah terbaik.

"Good luck, mainlah sepenuh hati, sepenuh jiwa untuk pasukan walaupun ada masalah-masalah dalaman. Kita tahu semua pemain adalah fighter dan teruskan berjuang sehingga akhir musim," ujarnya.

Bonai turut sempat meninggalkan pesanan kepada penyokong kerana setia menyokong pasukan Sang Kenari.

"Tidak lupa juga kepada penyokong yang sokong saya, jatuh bangun saya, prestasi saya, mereka tetap beri semangat untuk saya sentiasa bangkit bersama pasukan KDA FC.

"Untuk penyokong Sang Kenari, terus support pasukan kesayangan anda, jatuh bangun team pun, penyokong tetap ada di belakang. Terima kasih Kedah, " kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram