Tak muncul 3 perlawanan, pengurus LMS Tigress FC nafi tarik diri


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Pasukan LMS Tigress gagal menghadirkan tiga perlawanan Liga Wanita Nasional 2023 setakat ini. — Facebook/FAM

BARU-BARU ini, perlawanan antara LMS Tigress FC berdepan Malaysian University dalam aksi Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Mini United, Bangi, Selangor pada Sabtu itu terpaksa dibatalkan sekali gus membangkitkan tanggapan negatif dalam kalangan sebahagian penyokong tanah air khususnya peminat bola sepak wanita yang tertunggu-tunggu aksi berkenaan.

Disebabkan LMS Tigress gagal menghadirkan diri pada perlawanan kesembilan LWN itu, Malaysian University kendalian Mohd Fairuz Abd Aziz dikira sebagai menang tanpa bertanding.

WhatsApp Image 2023-10-31 at 16.14.14

Sebahagian aksi LMS Tigress ketika berdepan Selangor FC. — Facebook/FAM

Kegagalan LMS Tigress hadir dalam perlawanan itu menimbulkan spekulasi yang mendakwa pasukan tersebut kini berdepan masalah dalaman malah dikhabarkan sudah menarik diri dalam kejohanan tersebut.

Namun tampil membidas kenyataan tersebut, pengurus pasukan LMS Tigress FC, Ahmad Feisal Datuk Seri Mohamed Zulkifli berkata, pasukannya masih berada dalam kejohanan tersebut.

"Tidak, kalau kami tarik diri mesti ada announcement, setakat ini kami masih lagi dalam pertandingan, tapi kami masih tidak boleh memberi sebarang komen," katanya kepada Majoriti.

Ahmad Feisal bagaimanapun turut memaklumkan bahawa pihaknya masih belum boleh memberikan sebarang kenyataan penuh berkenaan isu tersebut.

"Saya minta maaf sebab perkara ini melibatkan pelbagai pihak, saya tidak boleh memberi sebarang komen.

"Tunggulah nanti, kalau ada apa-apa perkembangan kita akan maklum kepada semua.

"Tapi buat masa sekarang ni, kami kami tidak mahu keadaan sekarang disalah anggap, kalau kita komen nanti lain pula jadi," jelasnya.

Sebelum ini, LMS Tigress tidak hadir dalam dua perlawanan ketika menentang Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) pada 18 Oktober dan Sabah FC pula pada 21 Oktober yang masing-masing diadakan di Stadium Mini SSMP, Gambang, Kuantan, Pahang dan Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika menentang pasukan SSMP, kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada pasukan itu.

LMS Tigress yang dikendalikan oleh Mohd Fairuz Mohd Noor kini berada di kedudukan kelima dengan mengutip tujuh mata selepas enam perlawanan berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram