Bajet RM30 juta e-sukan akan digunakan tanpa pembaziran — Hannah Yeoh


  • eSports
  • Selasa, 31 Okt 2023

Hannah bersama Jian Wei (tengah) yang lebih dikenali sebagai 'xNova' pada Majlis Pelancaran Kempen Goodday Charge pada Selasa. 

PERUNTUKAN RM30 juta yang disalurkan kerajaan untuk industri e-sukan akan digunakan dengan sebaiknya bagi mempromosikan sukan berkenaan serta memastikan tiada sebarang pembaziran berlaku, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah bagaimanapun berkata, peruntukan itu masih belum diketahui pembahagiannya berikutan ia bukan diberikan khusus kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan statusnya kini masih dalam perbincangan di peringkat Parlimen.

"Untuk bajet yang diperuntukkan untuk e-sukan, kami akan memastikan akan menggunakan sebaiknya bajet itu supaya tiada pembaziran dan akan berhubung dengan pihak berkepentingan. RM30 juta itu bukan di bawah KBS, ia di bawah attracting investments (menarik pelabur).

"Untuk perincian mengenai bajet itu nanti akan diketahui kementerian mana yang akan menjadi anchor untuk menggunakannya. Sekarang ia masih berada dalam debate stage di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Goodday Charge di Damansara Height, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada pelancaran itu, atlet e-sukan Malaysia, Yap Jian Wei atau lebih dikenali sebagai ‘xNova’, dilantik sebagai duta kempen Goodday untuk memupuk penerimaan dan pengiktirafan yang lebih baik terhadap e-sukan, setanding dengan sukan-sukan lain.

WhatsApp Image 2023-10-31 at 16.12.00

Tajaan Goodday diharap dapat memupuk penerimaan dan pengiktirafan yang lebih baik terhadap e-sukan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab pembangunan untuk e-sukan.

Dalam perkembangan berbeza, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, e-sukan selalunya merupakan usaha berasaskan sesebuah pasukan dan komuniti perlu menghapuskan salah tanggapan bahawa ia permainan mengasingkan diri (isolation game).

Kritikan yang dilontar segelintir masyarakat menyaksikan sesetengah pemain e-sukan bukan atlet sebenar seperti sukan lain menyaksikan ada pemain industri itu menghadapi gangguan kesihatan mental.

"Memahami kebimbangan mengenai ketagihan permainan dan kesihatan mental, Kementerian juga telah melancarkan garis panduan untuk tadbir urus berkesan dalam e-sukan bagi memastikan kesejahteraan pemain menjadi keutamaan.

"Atlet e-sukan banyak menerima kritikan daripada orang ramai dengan ada diantara mereka menganggap atlet e-sukan bukan atlet walaupun mereka sudah menerima pelbagai medal. Mereka tak faham proses untuk lengkapkan pasukan. Ada banyak pasukan di sebalik e-sukan. Dalam ISN (Institut Sukan Negara) ada pasukan psikologi.

"Atlet e-sport pun kena bersenam untuk memastikan mereka cergas. Orang tak faham industri. Harapnya dengan ada tajaan daripada Goodday, mereka akan mempromosi nilai-nilai kepada anak-anak," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram