Sendiri pernah alami, import kelab Lembah Klang kongsi situasi pemain tak bergaji


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Isu gaji dilihat semakin membebani pasukan-pasukan Liga Super saban musim dengan penyelesaian masih belum diambil.

MASALAH pengurusan dan kewangan yang menimpa kelab Liga Super dilihat terus mencengkam musim ini apabila laporan tidak rasmi menyebut sebanyak enam pasukan mengalami hal itu.

Hal itu sebelum ini hanya disebut-sebut dalam kalangan penyokong dengan pihak pengurusan enggan memberikan jawapan akan perkara terbabit.

Tetapi, pendedahan daripada pemain terkesan di media sosial seakan-akan mengesahkan dakwaan itu sehingga menceritakan mengenai nasib dialami mereka.

Selain itu, perkongsian berkenaan turut mendesak pihak pengurusan untuk memberikan penjelasan dengan pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar merupakan antara yang terbaru membuka kisah sebenar.

Isu berkenaan pastinya memberi satu imej buruk mengenai kebajikan bola sepak tempatan apabila isu sama terus berulang saban musim.

395289044_874885867709955_6743945045756130064_n

Uche Agba dilihat cukup kecewa dengan sikap culas Sarawak United untuk menyelesaikan pembayaran gaji. Facebook/PDRM FC

Sekiranya diimbau pada 2022, dua kelab yang berdepan masalah berkenaan ialah Sarawak United dan Melaka United sehingga laporan menyebut pemain dan staf kejurulatihan tidak menerima bayaran melebihi tiga bulan.

Malah, isu tersebut seperti tidak diendahkan pihak pengurusan kelab dengan laporan menyebut tunggakan gaji masih tidak diselesaikan meskipun sudah lebih setahun menunggu.

Antara yang berdepan perkara itu ialah bekas pemain import skuad Ngap Sayot, Uche Agba yang ketika ini masih beraksi dalam Liga Super bersama PDRM FC.

Menurutnya, pasukan berpangkalan di Borneo tersebut masih belum menyelesaikan pembayaran gaji meskipun sudah berkali-kali pemain menuntut bayaran.

"Sejujurnya, mereka masih belum melunaskannya dan perkara menyedihkan mengenainya adalah mereka tidak berhubung dengan kami mengenainya.

Web thumbnail 800 x 450 - 2

KDA FC dan Negeri Sembilan FC dilaporkan sedang mengalami masalah gaji musim ini. Facebook/KDA FC

"Saya cuba menjadi profesional dengan tidak memberi sebarang komen mengenai mana-mana pasukan, tetapi saya rasa amat sedih dengan cara mereka menguruskannya," katanya kepada Majoriti.

Uche Agba kini menjadi antara watak utama buat skuad Sang Saka Biru yang menduduki tangga kelapan Liga Super selain berada dalam peringkat separuh akhir MFL Challenge Cup.

Tambah pemain kelahiran Nigeria itu lagi, penyelesaian lebih baik perlu dicari pihak pengelola liga untuk memastikan isu kewangan tidak lagi berulang.

"Pihak pengurusan perlu mencari pendekatan berbeza mengenai hal ini kerana ia amat menyedihkan apabila pemain tempatan dan import memberikan 100 peratus di atas padang, namun tidak menerima bayaran.

"Kepada mana-mana pasukan yang berdepan situasi ini, pemain anda tidak mahu membuka mulut untuk menjaga kebajikan kelab tetapi fahamilah, pemain sedang berdepan tempoh amat sukar," katanya.

Selain KDA FC, laporan mengatakan Kelantan FC, Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC berdepan isu terbabit sejak pertengahan musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram