[VIDEO] Ibu sah selamat, ayah bintang Liverpool masih hilang lepas diculik


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Diaz (tiga dari kiri) menyertai Liverpool pada Januari 2022. — Agensi

PENYERANG Liverpool, Luis Diaz kini pastinya berada dalam kebimbangan selepas ibu bapanya dilaporkan diculik di kampung halamannya, bandar Barrancas, La Guajira, Colombia pada Sabtu.

Berdasarkan laporan terkini, ibunya berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Colombia namun status ayah kepada bintang The Reds itu masih belum diketahui selepas kejadian malang menimpa mereka itu.

Presiden Colombia, Gustavo Petro berkata, bahawa ibu kepada pemain Colombia dan Liverpool itu sudah diselamatkan pada Sabtu selepas diculik di utara Colombia tetapi pegawai masih mencari bapanya yang hilang.

Pejabat peguam negara Colombia sebelum ini berkata, mereka mengumpulkan sepasukan penyiasat untuk mencari pasangan tersebut di sekitar Barrancas.

Polis negara itu turut mengesahkan ibu Diaz, Cilenis Marulanda sudah diselamatkan dan wanita itu kini sudah berada dengan Pengarah Polis Colombia, William Rene Salamanca.

Dalam satu video memetik media Colombia, Salamanca menyatakan bahawa dia akan menggunakan setiap ejen untuk mencari bapa Diaz.

Ibu bapa pemain 26 tahun dilaporkan diculik ketika mereka memandu ke rumah. Menurut pihak berkuasa, lelaki bersenjata bermotosikal menghalang mereka dan kemudian mengarahkan kenderaan yang dinaiki oleh ibu bapa Diaz berhenti sebelum mereka melarikan diri dari tempat kejadian.

Persekutuan bola sepak Colombia dalam satu kenyataan berkata, penculikan itu amat dikesali dan menggesa pihak berkuasa menyelamatkan bapanya.

Diaz yang sudah bermain 43 kali untuk Colombia, tidak mengulas mengenai insiden itu dan berkemungkinan dia juga tidak akan diturunkan dalam aksi bertemu Nottingham Forest pada malam ini susulan insiden menimpa ibu bapanya.

Liverpool menandatangani Diaz dari kelab Portugal, Porto pada Januari 2022 dan dia sudah menjaringkan 14 gol dalam 58 penampilan untuk kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram