Agensi kerajaan kendalian Reezal Merican kini 'miliki' kelab England


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Gelanggang keramat QPR akan menjadi Stadium Matrade Loftus Road. — Agensi

KELAB England, Queen Park Rangers (QPR) mengumumkan agensi kerajaan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) secara rasminya sebagai penaja baru stadium mereka berkuat-kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dikongsi sendiri di laman sesawang rasmi kelab yang bertanding di saingan Liga Kejuaraan tersebut, The Hoops pada Jumaat.

Dalam kenyataan tersebut, kelab tersebut sudah menandatangani perjanjian tiga tahun untuk menjual hak penamaan stadium kepada agensi kerajaan perdagangan Malaysia Matrade dan bakal dikenali sebagai Stadium Matrade Loftus Road.

Untuk makluman, Matrade ialah agensi penggalakan perdagangan nasional di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi tujuan membangun dan mempromosikan eksport Malaysia ke dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab London Barat itu, Lee Hoos menyatakan bahawa beliau melihat perjanjian sehingga musim 2025-2026 itu bersifat win-win situation dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

qpr palyer

QPR kini menduduki tangga terakhir liga. — Agensi

"Kelab sentiasa mencari cara untuk meningkatkan portfolio rakan kongsi kami.

“Keputusan untuk memberikan hak penamaan stadium ini dibuat berdasarkan kepentingan komersial kelab, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan Matrade," katanya dalam kenyataan tersebut pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula melihat tajaan tersebut akan meningkatkan hubungan dagang antara Malaysia dan England, selain menaikkan jenama Matrade di peringkat antarbangsa.

"Apabila saya memulakan cadangan untuk Matrade menjenamakan semula agensi itu selepas 30 tahun penubuhannya, saya melihat bahawa perkongsian hak penamaan baharu adalah peluang untuk Matrade meningkatkan keterlihatan jenama kami di persada antarabangsa.

“Dengan memanfaatkan sejarah lama QPR dalam bola sepak Inggeris, Matrade akan dapat meningkatkan pengiktirafan globalnya sebagai agensi yang dipercayai untuk menghubungkan perdagangan antara dua negara kita. Kami mengharapkan perkongsian yang berjaya dengan QPR," jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan semasa QPR, kelab divisyen dua England itu memulakan musim dengan buruk selepas tewas sembilan daripada 13 perlawanan liga mereka dan kini berada pada tangga terbawah liga dengan memungut tiga mata sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram