Misi cabar musim 23/24, JDT|GBX Esports bernafsu buru pemain, jurulatih baharu


  • eSports
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Pasukan JDT|GBX Esports berada pada tempat ke-17 pasukan terbaik dalam dunia kejohanan FIFAe Club World Cup 2023. — Facebook/JDT|GBX

WALAUPUN menutup tirai musim 2022/23 dengan kejayaan manis iaitu melayakkan diri dalam kejohanan tertinggi FIFA iaitu FIFAe Club World Cup 2023 namun pasukan JDT|GBX Esports kekal bernafsu untuk mendapatkan wajah baharu.

Menerusi hantaran di media sosial rasmi pemenang saingan ePiala Malaysia 2022 itu menyatakan bahawa JDT|GBX ingin mengambil beberapa pemain baharu untuk memperkuatkan lagi pasukan bagi musm 2023/24.

Bukan hanya akan dibarisi pemain tempatan dan import, malah JDT|GBX juga ingin merekrut jurulatih baharu untuk mencabar saingan musim depan dan memperbaiki kedudukan ranking yang kini di tangga ketujuh dunia.

Bercakap kepada Majoriti mengenai kriteria pemain yang dicari oleh pasukan berpangkalan di Selatan tanah air tersebut itu, Pengurus JDT|GBX, Aris Danial menyatakan bahawa mereka mencari seorang individu yang bercita-cita tinggi.

Pengurus berusia 24 tahun itu mengakui bahawa pencarian beberapa pemain tersebut bukanlah disebabkan tidak mempercayai bakat sedia ada namun untuk membuat pembaharuan dalam pasukan JDT|GBX.

ISI DALAM

Poster pencarian pemain dan jurulatih baharu JDT|GBX Esports.

"Pencarian ini semestinya untuk terus mengekalkan pasukan kami menjadi pasukan nombor satu Malaysia, oleh itu beberapa penambahbaikan ataupun pembaharuan perlu dilakukan.

"Jika dari penilaian saya, saya akan mencari pemain yang bercita-cita tinggi, ada desire nak menang semua kejohanan dan mempunyai rasa hormat kepada orang lain," katanya kepada Majoriti.

Aris mempercayai bahawa dengan kehadiran beberapa wajah baharu dalam pasukan JDT|GBX, mereka berkemampuan untuk menjadi pasukan terbaik Asia dan membantu memartabatkan lagi nama Malaysia di persada sukan elektronik bola sepak.

Menjelang musim yang lebih mencabar, Aris dan pasukannya masih belum meletakkan apa-apa sasaran berikutan format pertandingan mungkin berubah selepas FIFA bukan lagi penganjur utama.

"Memandangkan pertandingan kompetitif yang akan datang bakal dianjurkan oleh EA Sports sendiri berbanding FIFA, kami masih belum mendapat pengumuman bagaimana dan berapa banyak kejohanan antarabangsa akan dianjurkan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram