[VIDEO] Keeper Haiphong 'rebah' gara-gara Gary, jadi ubat kekalahan The Rhinos


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Gary dimasukkan pada minit ke-76 dan menjaringkan gol buat Sabah empat minit selepas itu. — Facebook/SabahFC

IMPIAN Sabah FC untuk meneruskan rentak kemenangan di pentas Piala AFC 2023 tidak berhasil apabila wakil Vietnam, Haiphong FC menjadi pasukan pertama mencalar rekod bersih The Rhinos dengan keputusan 2-3 pada aksi Kumpulan H, di Stadium Lach Tray, Hanoi pada Rabu.

Dalam dua perlawanan Kumpulan H kempen Piala AFC sebelum ini, The Rhinos menewaskan kelab Singapura, Hougang United FC dengan keputusan 3-1 dan berpesta gol membenam juara Liga 1 Indonesia musim 2022/23, PSM Makassar 5-0.

Cuma ketika berdepan Haiphong, gawang Sabah FC mula dibolosi menerusi sumbangan dari Nguyen Huu Son seawal minit ke-14 dan empat minit berselang, hati penyokong The Rhinos sekali lagi berkecai apabila rembatan luar kotak daripada Tien Dung Dam gagal ditepis keluar oleh penjaga gol, Damien Lim.

Tien Dung menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-72 menerusi percubaan deras di dalam kotak penalti sekali gus menjadi wira untuk mengesahkan tiga mata menjadi milik Haiphong.

Manakala, jaringan gol Sabah FC pula dihasilkan menerusi tandukan penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado pada minit ke-71 manakala rembatan Gary Steven Robbat dari luar kotak penalti, pada minit ke-80 berhasil mengurangkan defisit gol buat The Rhinos.

Walaupun Sabah FC keciciran mata di bumi Hanoi, namun jaringan jarak jauh dari anak jati Kedah, Gary berhasil mengubat kekecewaan penyokong The Rhinos yang hadir di gelanggang Haiphong dan semua peminat kelab berpangkalan di Borneo tanah air tersebut.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Astro Arena, penyokong The Rhinos rata-ratanya kagum melihat gol dari pemain tengah itu dan kepuasan pengikut Sabah FC bertambah apabila penjaga gol Haiphong, Dinh Trieu Nguyen rebah ke atas padang selepas gagal menepis gol Gary.

"Sabah kalah melawan. Gary punya roket memang padu. Terbaik Sabah," kata penyokong The Rhinos, Muzafir Mahfuz.

"Laju betul bola tu..terciduk keeper dibuatnya. Memang padu rembatan Gary," tambah penyokong, Azizul Rahman Mohamed Ali.

"Padu sampai penjaga gol rebah terkena tempias angin," kata penyokong Sabah FC, Jude Judee.

Meskipun tewas, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berpeluang membalas dendam kekalahan di bumi Hanoi itu di Stadium Likas pada 9 November ini.

Sabah FC kini berada di tangga kedua Kumpulan H Piala AFC 2023 dengan keputusan daripada perlawanan antara Hougang United FC dan PSM Makassar akan mengubah kedudukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram