Disokong KBS, 5 pasukan wanita tambah kemeriahan kejohanan ragbi Cobra ke-50


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Kejohanan Ragbi Cobra 10s akan dimainkan secara pusingan robin pada hari pertama perlawanan.

KELAB ragbi tertua Malaysia, Persatuan Ragbi Gabungan Bekas Pemain (Cobra) akan menganjurkan kejohanan Cobra Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (10s) 2023 ke-50 pada 11 dan 12 November di Padang Astaka Petaling Jaya, Selangor.

Presidennya, Darryll Sinnappa menzahirkan kegembiraannya kerana dapat menjadi tuan rumah dan meneruskan penganjuran kejohanan berprestij itu pada tahun ini yang mana sudah memasuki edisi ke-50.

“Kami amat berbesar hati menyambung legasi yang membanggakan, Cobra menjadi tuan rumah ke-10 bagi edisi jubli emas, kejohanan ke-50. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan rakan antarabangsa kami pada hujung minggu nanti untuk kejohanan ragbi ini.

"Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak penaja serta Kementerian Belia dan Sukan di atas sokongan mereka terhadap kami," katanya memetik kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, kejohanan pada tahun ini lebih menarik susulan sokongan dan geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Menterinya, Hannah Yeoh akan turut hadir untuk merasmikan majlis penyampaian hadiah bagi kejohanan tersebut.

IMG_8318

Kejohanan Cobra 10s akan diadakan selama dua hari.

"Kementerian Belia dan Sukan berbesar hati untuk turut bersama Cobra kerana kejohanan ini bukan sahaja akan meningkatkan taraf dan kualiti ragbi di Malaysia tetapi juga dapat meningkatkan profil ragbi Malaysia di peringkat global," jelas Hannah.

Edisi ke-50 itu juga mendapat sokongan tetap dari Majlis Olimpik Malaysia, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Kesatuan Ragbi Selangor, selain sokongan yang diberikan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Tidak terkecuali juga beberapa entiti swasta seperti Malaysia Airlines, Crystal Crown Hotel, Newfields, Lebuhraya Pantai Barat dan IJM Corporation Berhad yang sudah menjadi penaja utama sejak kejohanan antarabangsa pertama pada tahun 1992.

Sebanyak sembilan kelab dari enam negara akan mengambil bahagian bagi kejohanan lelaki iaitu Australia, Fiji, New Zealand, Papua New Guinea, Afrika Selatan dan termasuklah Malaysia. Lebih menarik kali ini, lima pasukan termasuk dua dari Singapura juga akan menyertai kejohanan kategori wanita.

Mengenai format pertandingan pula, kejohanan Ragbi Cobra 10s akan dimainkan secara pusingan robin (round-robin) pada hari pertama diikuti dengan pusingan kalah mati pada perlawanan berikutnya.

Untuk rekod, kejohanan ragbi 10s pertama di dunia diadakan di Malaysia pada 1967 atas tujuan untuk membuka lebih banyak ruang buat pemain untuk bergerak, terutamanya bagi pemain Malaysia yang bersaiz lebih kecil.

Para pengasas kelab Cobra yang merupakan diantaranya pemain-pemain ragbi terkemuka merasakan bahawa format 7s tidak mempamerkan permainan ragbi sebenar dan akhirnya formasi 10s dibuat buat pertama kali pada 1967 sehingga pada 1992, ia dinaikkan ke peringkat antarabangsa.

IMG_8320 (1)

Kejohanan Cobra 10s diperkenalkan sejak 1967.

Selama bertahun-tahun, format 10s yang unik ini telah mendapat perhatian dan menjadi popular di kalangan ragbi tempatan serta antarabangsa sehingga banyak pasukan terkemuka luar negara sudah meletakkan Cobra 10s sebagai acara kekal di dalam kalendar mereka.

Revolusi Cobra juga bertambah baik apabila mereka memperkenalkan dan menganjurkan kejohanan sampingan 10s antarabangsa untuk peringkat sekolah sejak 2003 dan untuk bahagian wanita sejak 2017.

Antara objektif penganjuran Cobra 10s adalah mempromosikan sukan ragbi di kalangan badan-badan sukan di Malaysia dan negara Asean; memaparkan ragbi bertaraf dunia kepada peminat tempatan dengan lebih mudah serta meningkatkan kualiti ragbi di Malaysia dengan mengambil bahagian seiring dengan pasukan antarabangsa.

Selain itu, penganjuran Kejohanan Cobra 10s juga adalah untuk membangunkan ragbi dari peringkat muda,menggalakkan persefahaman dan penghargaan antarabangsa serta mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram