[VIDEO] Kes bookie bola sepak, sedekad lalu, pemain Terengganu pernah dituduh beri keterangan palsu


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Mohd Azuan (tengah) dibawa keluar oleh anggota SPRM selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak rayuan dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana didapati bersalah memberi keterangan palsu pada 2017. — Agensi

BOLA sepak bukan sahaja dicemari dengan beberapa insiden pergaduhan dan isu pengadil perlawanan berat sebelah, malah ada juga isu yang menjalankan aktiviti pertaruhan dalam perjudian sukan itu dengan mengatur keputusan penuh perlawanan.

Pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2013, terdapat satu kes aktiviti mengatur perlawanan melibatkan seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team apabila ketika itu individu berkenaan dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan.

Jalan cerita untuk pemain muda itu berubah apabila dari menjadi saksi untuk kes perjudian itu bertukar tempat ke kandang tertuduh susulan dia dituduh memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam perbicaraan berhubung kes mengatur perlawanan bola sepak pada 2012.

Menurut laporan media pada Oktober lalu, Mohd. Azuan Hussein mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Mahkamah Sesyen 1 di Kuala Terengganu antara pukul 10 pagi dan 1 petang pada 3 Disember 2012.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes terhadap ahli perniagaan, R.K. Rajendran dan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen tersebut.

Dalam perbicaraan itu, Mohd Azuan yang juga saksi memberi keterangan 'sebelum perlawanan dengan Pahang, Sufian Ngah tiada berjanji atau suruh buat apa-apa dalam perlawanan ini,' yang mana keterangan itu tidak selaras dengan penyataan diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syukri@ Senek Mustafa di Pejabat SPRM Terengganu pada 4 Jun 2011.

Ketika keterangannya diambil sebelum ini, Mohd Azuan memberi keterangan "perlawanan seterusnya adalah T-Team menentang pasukan Pahang bertempat di Kuantan, Pahang juga pada Februari 2010. Sebelum perlawanan bermula, Sufian telah bagi arahan kepada saya, Shaqudin, Azwan Ali, Nizam dan Nazmir supaya T-Team menang. Saya telah lupa berapakah gol mesti menang. Menurut Sufian, jika arahan beliau itu dipatuhi, saya berlima akan diberikan duit oleh bookie."

Mohd. Azuan didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan diperintah melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sebagai syarat jaminan. Sebutan kes ditetapkan pada 26 November 2013.

Lima tahun selepas itu, Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu pada 2017 menolak rayuan dan mengekalkan hukuman penjara dua tahun terhadap pemain yang didakwa atas pertuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes mengatur perlawanan bola sepak itu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu terhadap Mohd Azuan yang didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009.

Zainal Azman dalam keputusannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara seperti diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran, pada 10 Mac 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram