Dua-dua silap bintang naturalisasi Indonesia, punca utama JDT tumbang di bumi Korea


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

Tonggak JDT, Bergson dikawal ketat oleh pemain Ulsan dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara (ACL) pada Selasa.. — Facebook/JDT

PAHIT untuk ditelan tapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh pasukan gergasi tanah air.

Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pulang ke tanah air dengan kekecewaan selepas gagal meraih kemenangan berdepan Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24 pada Selasa.

Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu, Korea menyaksikan pasukan tuan berjaya meraih kemenangan apabila menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 3-1.

Dalam perlawanan babak pertama itu, kurang 10 minit permainan, pasukan tuan rumah menerusi kapten Ulsan, Jung Seung-hyun membuka tirai jaringan menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Selang tujuh minit kemudian, Ulsan terus memberi tekanan apabila berjaya mematahkan benteng pertahanan JDT dan gol kedua tercipta menerusi pemain tengah Ulsan, Gustav Erik Ludwigson.

Tidak lama selepas itu, pasukan pelawat terus dikecewakan selepas Ludwigson menambah derita JDT dengan jaringan ketiga buat pasukan yang berpangkalan di Korea Selatan itu.

WhatsApp Image 2023-10-24 at 19.59.44

Penyerang JDT, Bergson membantu Harimau Selatan meraih satu jaringan ketika aksi berdepan Ulsan. — Facebook/JDT

Meskipun meraih tiga jaringan babak pertama, pasukan Ulsan terpaksa kehilangan pemain pertahanan, Kim Tae-hwan selepas dilayangkan kad merah berikutan didapati melakukan kekerasan kepada tonggak JDT, La'vere Corbin Ong.

Bersambung babak kedua, tidak mahu terus kecewa, penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva berjaya merobek gawang lawan dengan menjaringkan gol pertama buat pasukannya pada minit ke-53.

Meskipun terpaksa beraksi dengan khidmat 10 pemain, Ulsan bagaimanapun berjaya mematahkan serangan Harimau Selatan dengan keputusan akhir memihak kepada pasukan tuan rumah.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berasakan kekalahan itu berpunca daripada tonggak JDT, Jordi Amat.

"Dua gol awal yang dihasilkan oleh Ulsan adalah disebabkan kelemahan kawalan Jordi Amat. Gol pertama dia tak marking rapat kapten Ulsan.

"Gol kedua berpunca dari 'clear ball' yang dia buat tapi bola menuju ke gawang sendiri," kata Umar Zulkarnaen.

"Pak Amat punca dua gol dihasilkan oleh pihak musuh," kata Mohd Ibrahim Azman.

Selepas ini, pasukan JDT akan menerima kunjungan daripada Ulsan dalam aksi seterusnya pada 7 November nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram