Fasa Covid-19 hampir 'bunuh' karier Jonathan Nyepa, usaha keras bawa nama ke Sukan Asia


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Jonathan Nyepa perlu bekerja keras bagi memastikan namanya kekal dalam pasukan olahraga kebangsaan. — Agensi

DALAM karier setiap atlet, pasti akan ada pelbagai cerita dalam perjalanan menuju kejayaan.

Penyokong dan orang luar mungkin hanya melihat kepada kepada kejayaan, kemasyhuran serta reputasi yang dimiliki oleh seseorang atlet.

Tetapi, mereka tidak faham dan tahu bagaimana sukarnya seseorang itu untuk berdiri di atas podium sebagai juara.

Itulah perjuangan dan pengorbanan mereka, perkara yang sama turut dilalui oleh pelari pecut kebangsaan iaitu Jonathan Nyepa.

Pelari yang menjadi sebahagian daripada kuartet 4x100 meter lelaki di Sukan Asia Hangzhou itu mengatakan satu-satu atlet tidak boleh mudah mengaku kalah walaupun berada dalam keadaan sukar.

Dia memberitahu cabaran sukar menanti dirinya ketika dunia dilanda wabak pandemik Covid-19. Ketika itu, Jonathan memilih untuk mengasingkan diri di kampusnya yang terletak di Universiti Putra Malaysia, Bangi, Selangor.

Berjauhan daripada keluarga akibat wabak pandemik sememangnya sukar, namun begitu Jonathan memilih untuk berkorban kerana itulah norma seorang atlet demi memburu kejuaraan buat negara.

Mujur pada waktu itu, Jonathan tidak dijangkiti wabak berbahaya tersebut walaupun terdapat orang sekelilingnya pada waktu tersebut mengalaminya.

394286354_771830924958209_8895829812186134551_n

Jonathan (paling kanan) merupakan panel dalam Dialog Belia 60 Tahun Sarawak Merdeka di Lan Berambeh Anak Sarawak 2023. — Facebook/TVS

Jonathan mengakui yang waktu itu adalah fasa sukar dalam kariernya kerana ketika dunia seolah-olah terhenti. Namun mujur, pelari dari Sungai Asap, Sarawak itu mampu untuk bangkit.

"Kita semua akan mempunyai waktu jauh dan naik. Macam saya, saya juga pernah rasa waktu kejatuhan yang paling teruk dalam karier saya selepas wabak Covid-19.

"Waktu itu saya cuba dapatkan rentak saya semula untuk kembali ke balapan, nak cuba untuk lari semula. (Tetapi) saya tak pernah putus, saya percaya dengan diri sendiri," kata Jonathan kepada Majoriti.

Tambah Jonathan, sikap tidak mudah berputus asa itu telah mendorong dirinya untuk terus berlatih supaya namanya sentiasa 'melekat' dalam pasukan kebangsaan.

"Saya (yakin) saya boleh buat, saya terus berlatih, berlatih dan berlatih dan saya berjaya mewakili Malaysia di Sukan Asia," ujar Jonathan.

Jonathan merupakan sebahagian daripada kuartet 4x100 meter lelaki di Malaysia yang beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China bersama-sama Khairul Hafiz Jantan, Azeem Fahmi dan Arsyad Saat.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila penyertaan kuartet negara dibatalkan selepas perlumbaan akhir diadakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram