[VIDEO] Tindakan pemain Thailand tarik seluar sekat tonggak BG Pathum curi perhatian


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Tangkap layar daripada tindakan Sarawut itu kini mula dikongsikan orang ramai di media sosial.

AKSI Liga 1 Thailand antara BG Bathum United dan Trat FC pada Jumaat berubah lucu apabila seorang pemain pasukan lawan bertindak menarik seluar lawannya.

Dalam aksi di Stadium Leo, Thailand itu, BG Pathum United yang sedang mendahului pada minit ke-74 dilihat sedang dalam usaha menggandakan jaringan.

Ia apabila anak-anak buah Thongchai Sukkoki memilih untuk menghantar bola kepada pemain import, Freddy Alvarez yang berusaha membawa bola melepasi benteng pertahanan.

Namun, dalam usaha merencanakan gerakan, seorang pemain Trat FC, Sarawut Thongkot bertungkus lumus mengasak tonggak skuad The Rabbits itu.

Tetapi, dengan Alvarez mudah melepaskan diri, Sarawut kemudian bertindak menarik seluar lawannya itu dalam usaha terakhirnya menghentikan serangan.

Kejadian berkenaan sempat dirakam dengan pengulas perlawanan juga kelihatan terhibur dengan kekasaran yang dibuat Sarawut tersebut.

Alvarez bagaimanapun tidak bertindak memarahi penyerang kelahiran Thailand berkenaan, tetapi hanya tertawa kecil atas insiden mencuit hati itu.

Selain itu, Sarawut juga tidak dilayangkan sebarang kad dengan tindakannya berkenaan seperti gagal disedari pengadil perlawanan.

Musim ini, pemain kelahiran Costa Rica itu terus menjadi nadi buat BG Pathum United apabila diturunkan dalam kesemua perlawanan buat kelab terbabit.

Ini termasuk dalam aksi Liga Juara-juara AFC (ACL) menentang Johor Darul Takzim (JDT) ketika skuad The Rabbits mengalami kekalahan 2-4 di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram