'Battle of midfielder', Mr Kuala Lumpur & Engku Nur Shakir jadi tumpuan di semifinal Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Terengganu dan KL City akan bertembung dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada Sabtu.

PERLAWANAN separuh akhir Piala Malaysia 2023 menyaksikan pertembungan tumpuan membabitkan pasukan di tangga ketujuh liga, Kuala Lumpur City FC (KL City) dan penyandang naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC (TFC).

Perlawanan pertama timbal balik antara kedua-dua pasukan akan berlangsung di laman sendiri The City Boys dekat Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Dengan melihat kepada prestasi semasa, anak buah Tomislav Steinbruckner dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada skuad Warga Kota untuk layak ke pusingan seterusnya.

Ini kerana selain rekod tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan terakhir liga, TFC juga mencatatkan kemenangan selesa ketika menewaskan Selangor FC dengan agregat 3-1 dalam aksi di peringkat pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Disebabkan itu, KL City dijangka tidak akan menerima laluan mudah ketika menerima kunjungan pihak lawan ke gelanggang sendiri pada Sabtu.

Tambahan pula, TFC tentunya mahu mendapatkan bekalan selesa sebelum beraksi di hadapan penyokong sendiri pada 3 November nanti.

Berikut Majoriti senaraikan empat pemain tumpuan yang perlu diawasi oleh kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu:

Ivan Mamut

Ivan Mamut terus mendapat kepercayaan jurulatih untuk menerajui barisan serangan skuad Sang Penyu.

1. Ivan Mamut

Di sebalik kritikan yang diterima, penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut terus mendapat kepercayaan jurulatih untuk menerajui barisan serangan skuad Sang Penyu.

Malah, kepercayaan yang diberikan terhadap pemain berusia 26 tahun itu turut terbalas apabila dia dilihat terus konsisten menyumbangkan gol.

Malah pada Ogos lalu, Mamut turut berjaya mencipta dua hatrik masing-masing ketika membantu pasukan menewaskan Kelantan FC 8-0 dalam saingan Liga Super dan KL Rovers 4-0 semasa aksi pusingan ke-16 Piala Malaysia.

Selain mempunyai keupayaan menjaringkan gol dengan tandukan dan rembatan deras, penyerang berketinggian 1.92 meter itu turut dilihat sentiasa mampu meletakkan diri di dalam kedudukan terbaik untuk menghidu merobek gawang gol pihak lawan.

Ketika bertemu Selangor pada pertama timbal balik suku akhir Piala Malaysia, Mamut berjaya menyumbangkan satu gol menerusi sepakan penalti.

Engku Nur Shakir

Shakir begitu tajam di depan pintu gol apabila menghasilkan empat gol termasuk lima 'assist' bersama Terengganu.

2. Engku Nur Shakir

Kecemerlangan persembahan yang ditonjolkan oleh pemain Terengganu FC, Engku Nur Shakir berjaya menobatkan namanya sebagai pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super untuk edisi Ogos 2023.

Shakir yang sebelum ini menerima kecaman hebat para penyokong skuad Penyu, mengalami transformasi prestasi terutamanya pada Ogos selepas Tomislav Steinbruckner mengubah peranannya dalam pasukan.

Hasil daripada persembahan Shakir, pemain tersebut begitu tajam di depan pintu gol apabila menghasilkan empat gol termasuk lima bantuan jaringan dalam kesemua aksi Terengganu dalam saingan liga setakat ini.

Kecemerlangan Shakir turut membolehkan namanya diletakkan dalam senarai menunggu skuad Harimau Malaya oleh Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka namun dia tidak dipanggil jurulatih tersebut.

Paulo Josue

Josue mahir dalam sepakan percuma dan mempunyai kreativiti dalam permainannya.

3. Paulo Josue

Penyokong Harimau Malaya kempunan untuk melihat aksi Paulo Josue dalam kejohanan Pestabola Merdeka selepas kapten Kuala Lumpur City FC (KL City) itu disahkan mengalami demam denggi.

Pada musim ini, Paulo yang beraksi di posisi tengah menyerang berjaya menampilkan persembahan yang memberangsangkan apabila merekodkan lapan gol dan lapan bantuan jaringan daripada 20 perlawanan yang diharungi.

Kelebihan yang ada pada pemain berusia 34 tahun itu ialah sepakan percuma, hantaran tepat dan mempunyai kreativiti dalam permainannya yang boleh menjadi ancaman buat skuad Sang Penyu.

Bersama Harimau Malaya, Josue telah menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan persahabatan terakhir yang mana dia menjaringkan hatrik ketika menentang Papua New Guinea pada Jun lalu.

Romel Morales

Romel merekodkan sembilan jaringan dalam 19 penampilannya bersama skuad warga ibu kota.

4. Romel Morales

Romel Morales boleh dikatakan antara pemain termuda yang menjadi tonggak utama pasukan bagi beraksi di posisi penyerang dalam Liga M.

Namun begitu, faktor umur tidak menjadi penghalang untuk Romel, 26, bagi mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan KL City FC untuk mengemudi bahagian serangan pasukan sejak tiga musim lalu.

Pada musim ini, penyerang kelahiran Colombia itu berjaya merekodkan sembilan jaringan dalam 19 penampilannya bersama skuad warga ibu kota.

Pada masa sama, pemain muda Colombia yang mula beraksi dalam Liga Malaysia pada 2018 dikhabarkan sedang dalam proses naturalisasi untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Mempunyai ketinggian 1.87 meter ia bakal menjadi aset penting buat skuad Pan-gon selepas penyokong Harimau Malaya dikecewakan dengan Guilherme de Paula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram