[VIDEO] Ghairah buru Sergio Aguero, Persija sedia lepaskan bekas pemain RB Leipzig


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Bias bekas pemain skuad remaja RB Leipzig. — Agensi

SRI Pahang FC dikhabarkan akan mengucapkan selamat tinggal kepada pemain naturalisasi, Sergio Aguero selepas dia dikaitkan akan mengembangkan kariernya ke negara jiran, Indonesia dengan menyertai Persija Jakarta.

Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mana menyatakan bahawa kelab Liga 1 Indonesia itu berminat untuk mendapatkan khidmat Aguero bagi memperkuatkan bahagian serangan mereka.

Menjelang jendela perpindahan kedua saingan Indonesia pada November nanti, insiatif itu diambil bagi memperbaiki semula kedudukan skuad kendalian Thomad Doll di saingan liga apabila kelab itu kini hanya memungut 20 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.

Pemain berusia 29 tahun itu sudah mencetak empat jaringan gol dan tiga hantaran bantuan dalam 10 aksi Liga Super dia diturunkan, rekod tersebut sudah cukup membuatkan Persija Jakarta terpikat dengan kebolehannya.

Sejurus sahaja khabar angin berkenaan tersebar di media sosial, ramai penyokong skuad dengan jolokan Macan Kemayoran menyambut baik kehadiran Aguero dan menunjukkan keterujaan mereka untuk melihat pemain kelahiran Argentina itu menyarung jersi Persija.

Jaringan Bias ketika menentang Persis Solo.

Selain itu, sekiranya Aguero menyertai pasukan tersebut, beberapa pemain dijangka digugurkan dari skuad Persija dan antara nama yang paling diharap meninggalkan kelab ialah Oliver Bias.

Bias tiba di Indonesia pada jendela perpindahan Julai lalu sebagai pemain import kelima kelab berkenaan dan jika dilihat pada statistik semasa, pemain berusia 21 tahun itu hanya tampil dalam tujuh perlawanan.

Untuk rekod, Bias adalah bekas pemain pasukan remaja RB Leipzig (Jerman) selama lima tahun (2015-2020) dan mula berkelana ke beberapa kelab seperti Optik Rathenow (2020-2021), FC Nitra (2021), Azkals Development Team (2021-2022), Chiangmai United (2022-2023) dan FK Pribram (2023). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram