‘Pemain kurang pengalaman tapi tetap beri saingan’, YCL puji persembahan skuad Perak


  • Podium
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Perak memberikan saingan walaupun tunduk 1-4 kepada JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Khamis. — Facebook/Perak FC

KEPUTUSAN yang kurang baik jelas memihak Perak FC selepas mereka kalah 1-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Khamis.

Kekalahan itu telah membuatkan perjalanan cukup sukar buat The Bos Gaurus menjelang aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 November setelah kecundang di laman sendiri.

Walaupun jumlah jaringannya adalah besar, namun itu tidak mencerminkan cerita yang terjadi di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut pengendali Perak, Yusri Che Lah, dia amat kagum dengan perjuangan yang ditonjolkan oleh para pemainnya dalam cubaan menyekat kemaraan Harimau Selatan.

Katanya, walaupun skuadnya tidak mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas setinggi peringkat separuh akhir Piala Malaysia, tetapi mereka berani untuk melawan.

“Walaupun kami tewas, tetapi pemain saya tetap berjuang. Faktor utama yang saya nampak adalah pemain kurang pengalaman untuk beraksi di pentas yang cukup besar bagi saya.

“Semua sedia maklum kekuatan dan kebolehan pihak lawan. Tetapi beberapa perkara yang perlu kita lihat adalah pemain berani untuk bermain bola sepak dengan betul dan memberikan saingan selama 90 minit tanpa memberikan laluan mudah,” kata Yusri.

Tambah Yusri lagi, dia tabik kepada para pemainnya yang cukup bersaing dengan hebat menentang skuad himpunan bintang JDT.

Yusri juga mengatakan yang lambat panas turut menjadi punca mengapa Perak gagal bersaing terutama di peringkat awal perlawanan.

“Pemain yang saya ada mempunyai kemahiran teknikal yang baik. Tetapi mereka terlalu menghormati lawan hinggakan mereka berasa kerdil ketika bermain. Pemain perlu berani buat tindakan, kalau tak mampu nak lakukan hantaran, kita perlu lindung bola daripada hilang begitu saja.

"Dalam masa yang sama, gol awal telah membunuh perjuangan awal kita. Mungkin kita lambat settle down dan itu saya akui dan saya ambil tanggungjawab di atas kekalahan pada malam ini (Khamis)," ujar Yusri.

Dua gol awal oleh Oscar Arribas dan Arif Aiman di separuh masa pertama menyukarkan Perak untuk bersaing. Situasi semakin sukar apabila Shahrul Saad turut menambah jaringan untuk JDT pada babak kedua.

Luciano Guaycochea berjaya mengurangkan defisit untuk Perak tetapi Nazmi Faiz memastikan JDT pulang ke Iskandar Puteri dengan kelebihan tiga gol menjelang aksi timbal balik pada 2 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram