KAWALAN keselamatan di Stadium Perak di Ipoh, Perak akan diperketatkan bagi memastikan tiada insiden luar jangka tercetus menjelang saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di venue berkenaan pada Khamis ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, lebih 300 anggota polis akan membantu mengawal dan melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan keselamatan penyokong kedua-dua pasukan terjamin.
"Kita akui aksi kedua-dua pasukan ini pernah dicemari dengan sejarah tidak baik namun diharapkan untuk kali ini, biarlah ia berlangsung aman dan diharapkan penyokong menjaga tingkah laku selain mengutamakan semangat kesukanan.
"Bagaimanapun, kita tidak akan sesekali memandang mudah aspek kawalan keselamatan ini kerana ia merupakan langkah wajib yang perlu diambil sepertimana ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),” katanya kepada Bernama di Ipoh pada Selasa.
Pada April 2014, insiden pergaduhan besar membabitkan penyokong kedua-dua pasukan tercetus di luar perkarangan stadium dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT di Stadium Perak.
Insiden berkenaan berulang pada Ogos 2016 apabila The Bos Gaurus sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan ia turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media.
Barisan pemain Perak FC ketika sesi latihan menjelas aksi bertemu JDT bagi saingan separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/PerakFC
Dalam pada itu, Bobie Farid berkata, pihaknya menyasarkan 25,000 tiket akan terjual kepada penyokong kedua-dua pasukan sama ada secara fizikal atau dalam talian.
"Walaupun kapasiti stadium boleh memuatkan maksimum 28,000 penyokong, atas faktor keselamatan kita hanya sediakan sekitar 25,000 tiket.
"Buat masa ini lebih 4,000 tiket secara dalam talian terjual dan untuk tiket fizikal kita akan buka jualannya pada esok (18 Oktober) bermula dari pukul 11 pagi hingga 6 petang di Stadium Perak,” katanya.
Mengulas mengenai pertembungan kedua-dua pasukan, beliau berkata, walaupun dianggap underdog, barisan pemain Perak FC akan berjuang habis-habisan untuk melakar kejutan ke atas JDT.
"Realitinya, JDT sebuah pasukan yang lengkap di setiap posisi selain merupakan juara bertahan. Ia jauh jika nak dibandingkan dengan Perak namun saya yakin setiap daripada kita termasuk penyokong mahu melihat The Bos Gaurus meraih kemenangan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram