PASUKAN India tidak akan menekan butang panik sekiranya mereka tidak mara ke pentas final Kejohanan Pestabola Merdeka berikutan skuad The Blue Tiger itu mempunyai objektif utama lain iaitu kelayakan Piala Dunia 2026.
Namun, ia tidak menghalang mereka daripada memberikan saingan sengit dan usaha tambahan apabila menentang Harimau Malaya pada aksi pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.
Pemenang pada aksi pembuka itu akan menentang Tajikistan, yang kini mendapat 'bye' dan akan terus layak ke final selepas Palestin menarik diri daripada kejohanan pada minit terakhir.
Jurulatih skuad The Blue Tiger, Igor Stimac yang mula mengambil alih tampuk kejurulatihan India pada 2019 itu tidak mahu mana-mana pemainnya mengalami kecederaan.
"Kami tahu kepentingan Kejohanan Pestabola Merdeka ini dan kami mahu pergi ke final tetapi keutamaan utama adalah memastikan pemain kami bebas daripada kecederaan.
"Tetapi jika kami gagal ke final, kami tidak akan terlalu sedih. Kami mempunyai perkara yang lebih penting akan datang, terutamanya kelayakan Piala Dunia. Kami mahu mara ke pusingan ketiga kelayakan.
"Kami hanya mempunyai dua sesi latihan sebelum datang ke Malaysia tetapi kami mempunyai pasukan yang stabil. Saya hanya mahu mereka meninggalkan segala-galanya di atas padang," kata bekas pemain antarabangsa Croatia itu.
Sunil sudah mencetak 92 jaringan dalam 142 penampilan untuk negaranya. — Agensi
India telah menyertai Kejohanan Pestabola Merdeka sebanyak 17 kali, mencapai dua perlawanan akhir, tewas kedua-duanya pada 1959 menentang Malaysia dan 1964 menentang Burma (Myanmar).
India adalah antara pasukan yang terbaik di Asia Selatan, menduduki tempat ke-102 di dunia dan salah seorang legenda dalam pasukan berkenaan iaitu Sunil Chhetri sudah menjaringkan 92 gol antarabangsa daripada 142 perlawanan.
Walaupun berusia 39 tahun, namun pemain kelab Benguluru itu kekal sebagai bahagian penting dalam pasukan India.
"Dia adalah berlian kami. Dia adalah segala-galanya yang diperlukan oleh pasukan ini untuk berjaya. Pada usianya, dia kelihatan seperti anak muda.
"Dia adalah orang pertama yang melakukan high pressing ke atas lawa. Dia sentiasa menyokong dan positif setiap kali diturunkan. Dia adalah pemain yang diperlukan dalam pasukan bagi setiap jurulatih," tambahnya.
Harimau Malaya ketika sesi latihan menentang India. — Facebook/FAM
Sementara itu, Stimac berkata, Malaysia telah bertambah baik kerana kemasukan pemain naturalisasi dan tonggak warisan semakin meningkatkan standard Harimau Malaya.
"Saya agak cemburu dengan apa yang persatuan anda lakukan. Mereka menggunakan semua instrumen yang ada untuk meningkatkan pasukan. Pemain warisan dalam pasukan telah dibangunkan di akademi bola sepak yang sesuai dengan kemahiran asas yang hebat.
"Pemain tempatan juga bagus dari segi teknikal dan kepantasan mereka," pujinya kepada pasukan kebangsaan tanah air.
Pada 2023, Malaysia bermain sembilan perlawanan dan hanya mengalami satu kekalahan ketika menentang Thailand dalam Piala AFF Mitsubishi Electric.
Harimau Malaya memenangi kesemua enam perlawanan di laman sendiri, termasuk ketika menentang pasukan yang mempunyai kedudukan lebih tinggi seperti Syria dan China. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram