Pan-gon jangka perlawanan sukar berdepan India, tonggak KL City diketepikan dalam skuad


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Skuad kendalian Pan-gon menjalani sesi latihan sebagai persiapan menjelang aksi pertama Pestabola Merdeka 2023 pada Jumaat. — Facebook/FAM

"KITA perlu tegas dan kuat dari mula hingga minit ke-90".

Itu merupakan mesej yang disampaikan oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon kepada anak buahnya menjelang perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, menentang India di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pan-gon berkata, tugas berat menanti pasukan negara kerana dia menjangkakan mereka akan berdepan pasukan India yang lebih kuat di padang tuan rumah yang baru dinaik taraf itu.

"Seperti yang kita semua tahu ranking mereka menghampiri 100 terbaik (ke-102) dan pasukan teratas di Asia Selatan. Mereka agresif dan benar-benar bekerja keras di padang.

"Mereka gemar memburu, mengejar bola dan membuat sentuhan yang kuat terhadap pihak lawan. Jadi, elemen seperti itu akan menjadi sangat sukar untuk pasukan lawan," katanya ketika sidang media praperlawanan pada Khamis.

WhatsApp Image 2023-10-12 at 23.27.52

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan tonggak pertahanan, Matthew Davies. — Facebook/FAM

Berdasarkan persiapan setakat ini, Pan-gon bagaimanapun optimis bahawa pemainnya bersemangat untuk menentang India dan memberikan perlawanan yang menarik buat penyokong tuan rumah.

Pada masa sama, kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue terpaksa diketepikan daripada perlawanan itu kerana sakit.

Sementara itu, sambil mengakui hakikat bahawa dia tidak tahu banyak tentang India sebelum ini, pemain pertahanan negara, Matthew Davies memuji Pan-gon dan pasukan kejurulatihan atas kerja keras mereka dalam memberikan maklumat dan panduan dalam menentang pihak lawan nanti.

Pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu juga tidak sabar untuk beraksi di padang baharu dan mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menaja kos penggantian rumput di stadium berkenaan kira-kira RM1.4 juta.

Stadium Nasional di Bukit Jalil menjalani pengubahsuaian termasuk menanam rumput jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput cow grass pada April lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram