Isu padang di setiap negeri, PSM hanya boleh jadi konsultan bukan selesaikan


  • Podium
  • Rabu, 11 Okt 2023

Hans Isaac menceritakan mengenai perkembangan semasa penggunaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) menegaskan bahawa pihak mereka hanyalah bertugas sebagai konsultan dan bukannya badan yang akan memutuskan penukaran padang di stadium bagi setiap negeri.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac menjelaskan bahawa pihak PSM akan memberi pendapat mengenai penanaman rumput jenis Zeon Zoysia seperti yang disarankan Kementerian Belia Sukan (KBS) sebelum ini iaitu menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua EXCO belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak.

"Terpulang kepada stadium tertentu untuk menggunakan Zeon Zoysia kerana PSM hanyalah bertugas sebagai konsultan. Perbincangan ada dan kami beri pendapat untuk setiap stadium di bawah aset kami.

"Benda itu datang daripada negeri dan bukannya federal. Pengalaman di SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) akan jadi panduan untuk negeri yang nak padang baharu," katanya ketika katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa pada Majlis Pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di Petaling Jaya, Selangor.

Sebelum ini, Menteri KBS, Hannah Yeoh mengesahkan hanya menerima dua surat permohonan iaitu daripada kerajaan negeri Kedah dan Perak untuk peruntukan menaik taraf padang bola sepak mereka dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.

WhatsApp Image 2023-10-10 at 22.48.27

SNBJ bakal berwajah baharu pada Khamis.

Dalam pada itu, Hans juga memaklumkan bahawa selepas menjalani kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan oleh PSM, penyokong bola sepak tanah air akan dihidangkan dengan wajah baharu SNBJ apabila ia didedahkan pada Khamis.

Hans berkata, venue yang akan mempamerkan padang baharu dengan rumput jenis Zeon Zoysia dan kemudahan yang dinaik taraf akan dilancarkan oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Hannah.

Menurutnya, gelanggang keramat Harimau Malaya itu bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.

"Kami teruja untuk perlawanan lawan India kerana pertama kali menggunakan rumput itu. Untuk makluman, Harimau Malaya akan dapat satu sesi untuk rasa padang itu sebelum aksi perlawanan.

"Kami dah perbaiki tandas, tempat solat dan macam-macam lagi yang orang ramai tak tahu mengenai perkara itu. Bilik persalinan pun kami tukar untuk keselesaan dan keselamatan Harimau Malaya," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram