[VIDEO] Lepas berlanggar dengan Syahmi Safari, bek kiri China terpaksa buang 7 gigi


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

Adegan ketika berlaku pertembunga antara Shuai dengan Syahmi pada minit ke-83.

BEK kiri China, Li Shuai terpaksa membuang tujuh giginya selepas pertembungannya dengan pemain pertahanan Harimau Malaya, Syahmi Safari dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu yang menyaksikan keputusan seri 1-1 itu.

Ketika perlawanan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu itu, Shuai difahamkan tidak sedarkan diri selama beberapa minit sehingga memaksa pasukan perubatan memanggil ambulans untuk mengusungnya keluar padang pada minit ke-83 dan aksi juga terpaksa dihentikan seketika.

Menerusi laporan dari Titan Sports, pemain Port Shanghai tersebut mengalami gegaran otak berikutan pelanggaran dengan bek kanan Johor Darul Takzim (JDT) itu dan sudah dihantar pulang ke Shanghai untuk pembedahan membuang giginya.

Selain daripada terpaksa membuang tujuh giginya, pemain berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilaporkan tulang belakang Shuai berada dalam keadaan baik selepas pertembungan tersebut.

Rentetan daripada itu, Shuai difahamkan akan terlepas perlawanan persahabatan menentang Syria dan pengendali Negara Tembok Besar, Alelsandar Jankovic mungkin terpaksa mencari pengganti lain untuk mengisi posisi pertahanan tersebut.

Dalam perlawanan berkenaan, Harimau Malaya hampir memalukan China apabila berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking ke-80 dunia itu 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 kedua September ini selepas seri 2-2 dengan Syria.

Faisal Halim berjaya meletakkan skuad negara mendahului 1-0 menerusi satu hantaran Akhyar Rashid untuk mengejutkan puluhan ribu penyokong tuan rumah namun perlawanan berakhir dengan keputusan seri apabila Lin Liang Ming mencetak gol minit ke-36.

Selepas ini skuad kebangsaan sekali lagi akan dipanggil untuk tugasan antarabangsa bagi menyertai kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung pada Oktober.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, India pada 13 Oktober sebelum membuat perhitungan bertemu Tajikistan atau Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram