Liga Super bakal laksana ikut AFC tapi ambil masa 2 musim — MFL


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Stuart menegaskan ia akan mengambil masa sehingga dua musim ini selari dengan format konfederasi Asia itu. — Facebook/MFL

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan meneruskan peraancangan asal untuk melaksanakan saingan Liga Malaysia (Liga M) mengikut format kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mulai tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam bagaimanapun menegaskan ia akan mengambil masa sehingga dua musim ini memastikan keseluruhan format saingan Liga Super akan selari mengikut format konfederasi Asia itu.

“Jadual liga akan ikut AFC. Kami dah adakan perbincangan dengan setiap pasukan dan pemegang saham. Liga akan mula April tahun depan. Kalau window transfer bukan dalam blok yang betul, kita akan terima pemain import yang ejen bebas.

“Jadi bila kita pindah liga, ia akan selari dengan liga lain. Tapi benda ini ambil masa dua musim. Semua kelab faham ini adalah AFC nak, kami hanya terima dan sambung. Kalau tak berubah, ia akan beri impak kepada liga.

"Akan ada guideline diberi kepada pasukan untuk urusan perpindahan pemain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa pada Majlis Pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel sekitar Petaling Jaya, Selangor.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan penerbit filem tersebut, Datuk Afdlin Shauki.

WhatsApp Image 2023-10-10 at 19.25.47

Beberapa individu penting hadir ketika majlis pelancaran filem itu.

Dalam pada itu, Stuart turut memaklumkan bahawa pihak MFL kini dalam proses untuk memeriksa semua dokumen yang diberikan oleh kesemua pasukan Liga Super sebagai persediaan untuk saingan musim depan.

"Kami dah buat penutupan penghantaran dokumen lesen kebangsaan pada penghujung September lalu. Kami dalam fasa memeriksa semua dokumen yang dah diberikan semua pasukan liga super. 18 atau 19 Oktober kami akan buat sidang media untuk umumkan keputusan lesen kebangsaan.

"Kami harap semua kelab liga M memahami kriteria perlesenan tahun ini. Semua pasukan dah hantar dokumen, now proses nak meneliti dokumen. Harap tahun ini tiada isu gaji atau kami akan ambil tindakan seperti sebelum ini," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram