
DAHULU beraksi penuh bertenaga di padang, kini terpaksa meringkuk dalam penjara atas kesilapan sendiri.
Itulah yang berlaku kepada bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Azinee Taib yang perlu menjalani hukuman penjara selepas melakukan kesalahan jenayah.
Bekas pemain bola sepak berusia 33 tahun itu mengaku bersalah selepas melakukan perbuatan meragut dua wanita pada 3 Julai yang lalu di dua lokasi berbeza.
Menurut laman Harian Metro, Azinee dilaporkan menyimpan harta curi milik pelajar tingkatan lima, Ker Zhi Zin di Pontian serta beg tangan milik wanita berusia 50 tahun iaitu Ho Shin Fun ketika dekat Forest City Country Garden, Gelang Patah.
Selain itu, Azinee turut dikenakan pertuduhan menyimpan harta curi iaitu dompet milik Toh Lai Siang, 53. Dia kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 411 kanun keseksaan. Secara keseluruhannya, dia didakwa dengan dua pertuduhan secara keseluruhan.
Azinee sebelum ini ditangkap ketika hendak melakukan jenayah pecah masuk rumah di Taman Bakri, Muar pada 3 Julai. Dia kemudiannya didakwa oleh di Mahkamah Sungai Udang oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superitenda Mohammad Zuwairi Md Noor.
Bekas pemain JDT ini yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam kemudiannya mengaku bersalah di depan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan untuk pertuduhan pertama sementara bagi pertuduhan kedua, Azinee dihukum ke tirai besi selama 15 bulan.
Namun begitu, atas budi bicara pihak mahkamah, kedua-dua hukuman dijalankan secara serentak dengan Azinee akan disumbatkan ke dalam penjara selama 15 bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram