
MUSIM 2023 menyaksikan saingan Liga Perdana tidak lagi menghiasi saingan domestik selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk membubarkannya bagi tempoh tertentu.
Pelaksanaan penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga M) itu menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 26 perlawanan Liga Super bagi musim 2023, tidak termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.
Setakat ini, pengelola liga bola sepak negara, MFL masih tidak menimbulkan sebarang kenyataan mengenai pelaksanaan semulanya dan pasti ramai penyokong tertanya-tanya mengenai status terkini saingan Liga Perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa ekosistem bola sepak negara masih belum sesuai untuk melaksanakan saingan Liga Perdana berikutan kini banyak kelab belum kukuh dari pelbagai aspek termasuk kewangan.
"Liga Perdana ini dalam kesesuaian piramid bola sepak, orang selalu tanya divisyen dua bila kena dibuat tapi soalan saya siapa nak dimasukkan dalam Liga Perdana.
"Isu dia pembangunan kelab diutamakan, format kadang-kadang kena tengok kesesuaian kelab. Liga M pun ramai bermasalah. Dengan kuantiti sedia ada tak boleh nak buat. MFL bergabung dengan AFL (Amateur Football League) untuk banyakkan kelab di AFL. Tapi M3 pun tak berkaliber nak jadi M2," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa di sebuah hotel sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Beberapa individu penting hadir ketika majlis pelancaran filem itu.
Stuart ditemui ketika Majlis Pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey terbitan 4ward Pictures Sdn. Bhd yang mengangkat kisah tiga orang peminat tegar ataupun Ultras selepas mereka disenaraihitam menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan penerbit filem tersebut, Datuk Afdlin Shauki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram