AFC umum harga rahmah untuk ekor Harimau Malaya saksikan Piala Asia


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Malaysia kembali ke pentas Piala Asia secara merit selepas lebih 40 tahun. — FAM

DEBARAN kejohanan Piala Asia 2023 kian terasa, kurang daripada 100 hari kita akan menyaksikan kejohanan bola sepak terulung melibatkan jagoan-jagoan dari benua terbesar dunia ini.

Sebagai rakyat Malaysia, pastinya keterujaan itu dirasai sama kerana selepas lebih 40 tahun, negara kita akan bersama-sama jaguh bola sepak Asia yang lain untuk beraksi di pentas tertinggi secara merit.

Pastinya sudah ramai ekor Harimau Malaya melakukan persiapan untuk menyaksikan kejohanan ini. Segala wang simpanan baik di bank atau dalam tabung berbentuk ayam akan dikorek untuk menampung perbelanjaan ke Qatar.

Di saat ramai warga kita gusar akan perbelanjaan untuk ke Qatar, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan penjualan tiket bagi menonton aksi Piala Asia 2023.

Menurut AFC, mereka telah memulakan jualan tiket untuk Piala Asia 2023 dengan tiga kategori tiket dijual untuk aksi peringkat kumpulan.

Menerusi hebahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), AFC mengenakan harga tiket serendah RM32 (QAR25) bagi tiket kategori ketiga.

Sementara untuk tiket kategori kedua adalah RM52 (QAR40) dan RM78 (QAR60) untuk tiket kategori pertama.

Jika dilihat kepada kadar tiket, ia boleh dikatakan berpatutan dan dianggap sebagai 'harga rahmah' dengan rata-rata penyokong Malaysia mampu untuk mendapatkannya.

Namun, apa yang dikira mahal adalah tiket penerbangan serta penginapan sebaik saja tiba di Qatar. Di situlah akan 'rabak' dompet setiap penyokong kita.

Harga-harga yang ditetapkan oleh AFC itu terpakai buat semua aksi peringkat kumpulan melibatkan Malaysia. Harimau Malaya akan menentang Jordan (15 Januari 2024), Bahrain (20 Januari 2024) dan Korea Selatan (25 Januari 2024). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram