England cari pasal, sedia warnai Wembley dengan biru putih tanda sokong rejim Israel


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Warna lampu biru putih dinyalakan semasa pemergian pemilik Leicester City iaitu Khun Vichai Srivaddhanaprabha. — Agensi

ADA yang kata, sukan tidak sepatutnya dikaitkan dengan politik. Tetapi hakikatnya, sukan adalah wadah terbaik untuk menyampaikan mesej-mesej berbaur politik.

Dunia kini sedang gempar dengan konflik yang berlaku antara Palestin dan wilayah haram Israel. Konflik antara dua pihak ini memasuki episod baharu dengan kedua-duanya saling berbalas serangan.

Saat pertempuran masih berterusan, seluruh dunia mengambil pendirian berbeza. Ada yang menyebelahi Palestin malah Israel turut mempunyai penyokongnya.

Salah satunya adalah England, sejak dari dulu negara ini memang terbuka menyokong wilayah haram tersebut setiap kali terpalit dalam konflik bersama Palestin.

Dan demi menzahirkan sokongan terhadap wilayah haram itu, England bersedia menggunakan bola sepak sebagai platform menunjukkan tanda solidariti.

England dikatakan akan menyalakan lampu gerbang gelanggang keramat mereka iaitu Wembley dengan warna biru putih sebagai simbolik bendera rejim Zionis.

Gerbang stadium Wembley dijangka akan diwarnakan dengan lampu biru putih ketika perlawanan persahabatan antara England menentang Australia yang dijadualkan pada 14 Oktober ini.

pele

Gerbang di gelanggang Wembley menyalakan lampu berwarna kuning hijau semasa pemergian Pele. — Agensi

Namun begitu, pihak FA England masih lagi berkira-kira untuk berbuat demikian. Hal ini kerana, mereka bimbang akan menerima kecaman daripada penyokong The Three Lions yang pro-Palestin.

Oleh kerana itu, mereka turut melakukan perbincangan dengan pihak UEFA untuk melakukan tindakan sedemikian pada perlawanan kelayakan EURO 2024 menentang Itali pada 18 Oktober.

Untuk rekod, sudah terdapat beberapa tempat di England yang mengibarkan bendera Israel seperti di Downing Street yang merupakan kawasan pentadbiran utama United Kingdom serta Dewan Bandaraya London.

FA England dilihat tidak mahu dianggap memihak kepada satu-satu pihak kerana itulah mereka masih teragak-agak untuk melakukannya. Satu lagi alternatif adalah FA England akan melakukan sesi bertafakur untuk mengenang mangsa yang terkorban dari kedua-dua pihak.

Sebelum ini, gerbang stadium Wembley sering dinyalakan dengan warna mengikut tema kepada sesuatu yang berlaku pada satu-satu masa.

Sebagai contoh, lampu gerbang stadium Wembley pernah dinyalakan dengan warna kuning hijau sewaktu legenda bola sepak Brazil iaitu Pele meninggal dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram