Bukan Nidzam Jamil tapi FAM pilih Shukor Adan jadi pembantu jurulatih skuad B-23 Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Shukor Adan dijangka akan bergandingan dengan Juan Torres Garrido untuk skuad B-23 Malaysia. — Agensi

TEKA-TEKI mengenai siapakah yang bakal menggalas jawatan pembantu jurulatih skuad bawah 23 tahun Malaysia semakin menemui jawapannya.

Sebelum ini, nama pembantu jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil dikaitkan dengan jawatan tersebut dengan FAM bersedia untuk meminjam khidmatnya daripada Gergasi Merah.

Akan tetapi, menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter (X), FAM kini bersedia untuk mendapatkan khidmat Shukor Adan yang kini bersama-sama barisan kejurulatihan Kuala Lumpur City FC.

Menurut laporan, nama Shukor hanya menanti masa sahaja untuk diumumkan oleh pihak FAM yang dijangka melakukannya tidak lama lagi.

Perkara ini nyata mengejutkan walaupun namanya disebut-sebut tetapi Shukor dilihat bukanlah calon utama untuk ke Wisma FAM.

Hal ini kerana, desas-desus kuat mengatakan yang Nidzam adalah calon utama untuk ke Kelana Jaya berbanding Shukor. Malah, nama Shukor berada di belakang pengendali Terengganu FC II iaitu Hairuddin Omar yang lebih kuat resumenya untuk mengendalikan Harimau Muda.

Dua nama lagi yang dikaitkan adalah pengendali skuad Piala MFL Penang FC iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain.

Malah, Akmal sebelum ini pernah berkongsi gambarnya ke Wisma FAM dan itu menguatkan spekulasinya bakal mengendalikan skuad muda negara namun lantas dinafikannya.

Kini hanya menanti pengumuman rasmi, Shukor dijangka akan menjadi pembantu kepada Juan Torres Garrido yang naik pangkat sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara.

Garrido akan menggantikan E. Elavarasan yang meletakkan jawatan selepas tamat kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand.

Dengan keputusan itu, Elavarasan kembali ke posisinya iaitu sebagai pembantu kepada Kim Pan-gon di skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram