BOLA sepak seperti yang kita tahu, adalah sukan yang menggunakan banyak sentuhan fizikal. Sepanjang 90 minit perlawanan, pemain akan terdedah kepada situasi yang mana mereka akan dibentes atau berlanggar dengan pihak lawan.
Kecederaan akan berlaku di mana-mana saja dalam sukan ini. Jika bernasib baik, kecederaan yang diterima adalah ringan dan boleh sembuh dalam masa yang singkat.
Akan tetapi, ada masanya pemain akan terlibat dalam situasi malang apabila mengalami kecederaan serius ketika bermain. Situasi ini akan membuat seseorang pemain terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang dialami.
Ini adalah situasi yang boleh berlaku kepada pemain Kuching City FC, Jimmy Raymond yang mengalami kecederaan sewaktu perlawanan Liga Super menentang PDRM FC pada Ahad.
Dalam aksi yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Jimmy terlibat dalam situasi sukar apabila pemain itu menerima rembatan daripada pemain PDRM.
Rembatan itu malangnya terus menerjah kepalanya lalu menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan dan perlu dibawa ke hospital seperti dalam video di Twitter (X).
Pihak perubatan perlu bertindak pantas dengan terus membawa Jimmy keluar daripada stadium dengan membawa pemain tersebut menaiki ambulans.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kuching City, mereka masih belum dapat menentukan tahap kecederaan Jimmy sama ada serius atau tidak.
"Sama-sama kita doakan kesembuhan buat Jimmy Raymond yang telah mengalami kecederaan selepas terkena rembatan bola di kepala pada perlawanan malam tadi. Beliau telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
"Kita doakan semoga tiada kecederaan yang serius & beliau dapat kembali bersama pasukan," kata Kuching City dalam kenyataan mereka.
Dalam perlawanan antara kedua-dua pasukan, Kuching City dan PDRM terikat 1-1 selepas gol pendahuluan oleh Uche Agba dipadamkan oleh jaringan Abu Kamara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram