TERENGGANU FC mempunyai peluang cerah untuk menamatkan penantian selama 12 tahun untuk meraih kejuaraan di peringkat domestik apabila mereka kini masih bersaing dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia.
Setelah menyingkirkan Selangor FC di peringkat suku akhir, skuad Sang Penyu dilihat cukup bersedia dalam memastikan kemaraan ke pentas akhir.
Bagaimanapun, sasaran itu masih belum boleh dianggap mudah buat mereka memandangkan pasukan berkenaan perlu berdepan cabaran Kuala Lumpur (KL) City FC di peringkat separuh akhir.
Musim ini, kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak tiga kali, termasuk dalam Piala FA, namun kesemua aksi-aksi berkenaan berakhir dengan keputusan seri.
Catatan berkenaan sudah tentu memberi satu bentuk kebuntuan terhadap pengendali pasukan masing-masing apabila mereka perlu beraksi dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
Tetapi, bagi Terengganu FC, pertemuan dengan skuad Warga Kota boleh dianggap sebagai satu misi balas dendam memandangkan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA di tangan juara Piala Malaysia 2021 tersebut.
Skuad Sang Penyu mengalami kekecewaan dalam Piala FA 2023 di tangan KL City FC. — Facebook/Terengganu FC
Perasaan itu turut dirasakan kapten Sang Penyu, Habib Haroon yang mengakui dia dan pasukannya masih kecewa atas penyingkiran berkenaan.
"Skuad itu (KL City) pernah menumbangkan kami daIam saingan PiaIa FA pada Jun lalu. Luka Iama masih berbekas dan kami tidak mahu pisang berbuah dua kaIi.
"Justeru kami tiada piIihan selain perIu bersedia daripada segi fizikal dan mental dengan berbaki kurang dua minggu lagi sebeIum turun berdepan dengan skuad itu," katanya.
Musim ini, Habib sekali lagi menjadi tonggak buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner apabila diturunkan dalam majoriti daripada perlawanan mereka dalam kesemua kejohanan.
Walaupun tidak membuat sumbangan yang ketara di hadapan pintu gol, pemain kelahiran Bahrain itu cukup handal dalam menutup ruang serangan lawan dengan melakukan asakan bersih mahupun pintasan bola.
Berdasarkan kalendar, Terengganu FC bakal berdepan KL City FC pada 21 Oktober di Stadium Cheras, KL sebelum aksi timbal balik pada 3 November.
Kali terakhir pasukan Pantai Timur melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia adalah pada 2018 yang mana mereka tewas di perlawanan akhir kepada Perak FA.
Jadi, mereka sudah tentu akan bersemangat untuk meraih kemenangan positif ke atas skuad kendalian Nenad Bacina dalam usaha meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram