KEJOHANAN Pestabola Merdeka edisi 2023 mungkin bakal mengalami perubahan kecil dari segi pasukan yang bertanding selepas pasukan Palestin dijangka menarik diri daripada pertandingan tersebut.
Menerusi satu perkongsian di laman Twitter, @FutbolPalestine mengatakan bahawa pasukan Palestin dijangka akan terlepas aksi Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur berikutan pergolakan yang kini berlaku di negara itu.
Tangkap layar hantaran tersebut. — Twitter/FutbolPalestine
Dalam perkongsian tersebut turut mengatakan bahawa Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) difahamkan mengumumkan semua perlawanan Liga Palestin perlu dihentikan untuk sementara waktu.
"PFA telah mengumumkan bahawa semua perlawanan Liga Primer Tepi Barat (WBPL) dan Liga Primer Jalur Gaza tidak akan berlangsung dalam minggu ini memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan.
"Perlawanan persahabatan Palestin dalam Pestabola Merdeka juga terancam. Semua lintasan sempadan dan Lapangan Terbang Lod ditutup," katanya dalam hantaran tersebut.
Sekiranya pasukan Palestin menarik diri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari lawan baharu bagi menggantikan Palestin supaya kejohanan empat penjuru itu tetap dapat dijalankan seperti biasa.
Pestabola Merdeka akan diadakan pada 13 dan 17 Oktober itu menyaksikan Palestin dijadualkan menentang Tajikistan manakala Malaysia akan berdepan India.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak PFA mahupun FAM berkenaan perkara tersebut.
Pada Sabtu, Hamas melancarkan Operasi al-Aqsa disertai rakyat Palestin sebagai mesej mempertahankan diri dan menjaga kedaulatan tanah air selain membalas penindasan serta keganasan yang dilakukan rejim Zionis sejak hampir satu abad.
Pertempuran pada Sabtu berlaku selepas beberapa minggu ketegangan semakin meningkat di sepanjang sempadan Israel dengan Gaza, di samping pertempuran di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Sekurang-kurangnya 247 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel setakat tahun ini, manakala 32 warga Israel dan dua warga asing terbunuh dalam serangan membabitkan pihak pejuang Palestin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram