
PERKEMBANGAN mengenai negara Palestin pastinya menarik perhatian semua. Konflik melibatkan negara tersebut dengan Israel memasuki episod baharu dengan tentera Hamas telah menjejaki tanah haram tersebut.
Di saat kedua-dua pihak sedang berperang, terdapat persoalan yang timbul. Adakah Palestin akan tetap hadir ke Kuala Lumpur dan melengkapkan penyertaan Pestabola Merdeka?
Terdapat desas-desus mengatakan yang skuad kebangsaan Palestin kini terperangkap dan tidak mampu untuk terbang keluar ke negara mereka menuju Malaysia bagi menghadiri kejohanan tersebut.
Situasi luar jangka ini telah memberikan permasalahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bagaimanakah kejohanan ini akan diadakan?
Menurut laman ASEAN Football, maklumat yang diperoleh adalah kejohanan Pestabola Merdeka akan mengalami perubahan format dengan FAM akan mewujudkan pertandingan antara tiga negara (tri-nation).
Dengan ketiadaan Palestin, Pestabola Merdeka akan diteruskan dengan Malaysia, India dan Tajikistan akan bertarung untuk merebut piala tersebut.
Format kejohanan ditukar kepada round-robin dengan ketiga-tiga negara perlu beraksi dua perlawanan dengan menentang sesama sendiri.
Ini bermaksud, Malaysia perlu menentang India dan Tajikistan sambil kedua-dua negara itu perlu menentang sesama sendiri untuk mencari pemenang.
Apa yang berlaku ini nyata tidak dijangka dan telah mengubah perjalanan Pestabola Merdeka. Akan tetapi, ia masih perlu dijalankan walaupun dengan tiga negara selepas FAM hanya mempunyai masa singkat mencari pengganti Palestin.
Kejohanan akan tetap diadakan dari 13 hingga 17 Oktober dengan jadual perlawanan dijangka bakal mengalami sedikit perubahan daripada pihak FAM.
Semoga kesemua pemain dan staf kejurulatihan Palestin serta rakyat negara itu secara amnya berada dalam keadaan selamat ketika waktu sukar ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram