DALAM perjalanan karier seorang pemain bola sepak, ada pelbagai cerita di sebaliknya. Ada pemain mempunyai pelbagai naik turun, terdapat juga yang sentiasa kekal konsisten ketika beraksi tidak kira kelab apa yang diwakili.
Jika seseorang pemain itu beraksi sebagai penyerang, kehebatan kariernya bergantung kepada jumlah jaringan yang dihasilkan sepanjang tempoh beraksi. Lebih banyak gol, lagi hebatlah satu-satu penyerang itu.
Itulah yang boleh dilihat menerusi penyerang dari Brazil iaitu Gustavo Almeida. Bekas penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC) ini merupakan antara pemain yang cukup tajam di depan pintu gol.
Malah, ketika tempoh singkatnya bersama-sama skuad Jang, Gustavo beraksi dengan cukup baik apabila meledak 11 gol dalam 14 perlawanan disertainya. Dia juga ada menyumbang satu bantuan gol ketika beraksi di Paroi.
Rekod Gustavo bersama skuad Jang juga tidak kurang hebatnya. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Rekod Gustavo sewaktu di Malaysia juga boleh dianggap baik kerana sebelum menyertai NSFC, pemain ini pernah mewakili UiTM FC di Liga Premier.
Sewaktu mewakili The Lions, Gustavo mencatatkan statistik baik apabila merakamkan enam gol dalam lapan penampilan.
Kini, rekod itu diteruskan oleh Gustavo bersama pasukan baharunya di Indonesia iaitu Arema FC. Walaupun kini Arema mengharungi detik sukar pada peringkat awal saingan liga, tetapi penyerang ini menjadi sumber kegembiraan penyokong mereka.
Untuk rekod, Arema kini berada di zon penyingkiran Liga 1 Indonesia selepas 10 perlawanan. Mereka cuma menang sekali, seri tiga kali dan tewas baki enam aksi untuk meletakkan Arema di tangga kedua terakhir liga 18 pasukan.
Cuma apa yang menarik perhatian, rekod jaringan Gustavo begitu hebat. Daripada lapan perlawanan yang telah diharunginya, penyerang ini sudah menjaringkan sembilan gol.
Rekod ini telah meletakkan Gustavo mendahului senarai penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia jauh meninggalkan Alex Martins, rakan sepasukan Junior Eldstal di Dewa United yang cuma menghasilkan enam gol setakat ini.
Gustavo memimpin carta penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia selepas 10 perlawanan. — Facebook/Indosiar
Gustavo turut meninggalkan nama-nama utama lain seperti bekas penyerang Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Takzim iaitu Fernando Rodriguez yang beraksi untuk PERSIS Solo serta bintang Timnas Indonesia, Stefano Lilipaly dengan masing-masing sudah menyumbat lima gol.
Rekod ini dilihat amat baik memandangkan Arema kini terperosok di dasar liga. Jika jaringan-jaringan Gustavo ini tidak dapat diterjemah kepada kemenangan maka kelabnya akan mengharungi musim panjang untuk mengelak daripada tersingkir ke divisyen dua musim depan.
Selain Arema, dua lagi kelab yang berada di zon penyingkiran adalah Bhayangkara dan bekas pasukan Aidil Sharin iaitu Persikabo 1973. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram