SELEPAS aksi membanggakan dalam peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) untuk kategori bawah 12 tahun (B-12).
Pasukan bola sepak Kedah B-12 dinobatkan sebagai juara kejohanan selepas menumpaskan seteru utama Perlis B-12 dengan keputusan 1-0 di Johor pada Rabu.
Kedah yang memakai jersi 'away' Sang Kenari bermula garang selepas menjaringkan gol seawal tujuh minit permainan.
Aizad menjaringkan gol kemenangan buat Kedah B-12.
Gol yang dijaringkan oleh Muhammad Aizad Asseri itu diraikan dengan gaya pemain bintang Kedah, Ifedayo Olusegun apabila dia meledak jaringan.
Sebelum ini Majoriti melaporkan seorang penyerang, Afif Adli Ar Rashid Abdullah mencuri tumpuan apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk Kedah ketika bermain sebagai penjaga gol sewaktu bertemu Johor dalam aksi separuh akhir.
Dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 1-1, kecemerlangan Afif berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir selepas menang penentuan sepakan penalti 4-3.
Afif meraikan kejayaan menyelamatkan sepakan penalti Johor pada aksi separuh akhir kejohanan MSSM. — Facebook/Akademi Sang Kenari
Dalam pada itu, jurulatih Kedah B-12, Mohd Firdaus Norazman dilihat sangat berbangga dengan semangat kesemua pemain muda Kedah dalam aksi final menentang Perlis B-12 pada Rabu.
"Saya berbangga dengan pemain yang berjiwa 'fighter'.
"Usaha semua pihak hasilkan produk pemain yang kompetitif, unit sokongan dari aktiviti akar umbi di sekolah-sekolah di Kedah," jelasnya.
Tidak ketinggalan penyokong juga mengucapkan tahniah kepada skuad Kedah B-12 malah ada yang tidak sabar menantikan pemain-pemain ini mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) suatu hari nanti.
"Tahniah buat kedua-dua pasukan bersaudara dari utara," kata Azman Jamaludin.
"Akhyar Rashid in the making, harap kekal setia bersama Kedah dan jangan lupa asal usul negeri anda," ujar Hazman Krizalid.
"Tahniah ubi-ubi Kedah, pemborong ubi tak datang tengok ke?" soal Anjang Shauqie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram