Belum lagi sah sarung jersi JDT, Elias bawa khabar ada sejarah kecederaan teruk


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar ketika Elias mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala selepas pukulan dari Rodrigo.

BARU-BARU ini, kecoh dalam kalangan penyokong apabila Johor Darul Takzim (JDT) dikhabarkan akan melamar seorang pemain kelahiran Argentina, Jalil Elias yang ketika ini beraksi di negaranya bersama San Lorenzo.

Khabar angin tersebut bermula ekoran satu ciapan daripada wartawan antarabangsa, Cesar Luis Merlo dengan laporan menyebut perpindahan tersebut akan disahkan selepas kontraknya tamat tidak lama lagi.

Kehadiran perancang tengah itu difahamkan akan menggantikan tonggak import dari Argentina Leandro Velazquez yang kini sedang menjalani proses pemulihan ekoran kecederaan serius dihadapinya.

Kali terakhir kelibat Leandro adalah ketika hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan bertongkat susulan kesan pertembungan dengan pemain Selangor, Brendan Gan ketika aksi Liga Super menentang Selangor di pada 29 Julai lalu.

Namun, ketika semua penyokong tidak sabar menunggu Elias menaiki limousine ke SSI, muncul berita kurang menyenangkan mengenai pemain berusia 27 tahun yang mempunyai sejarah kecederaan serius pada musim 2023.

elias

Elias dilihat mempunyai kualiti untuk menjadikan JDT sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara. — Agensi

Memetik laporan dari portal Argentina, Ole, arkitek tengah San Lorenzo itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala selepas pukulan yang diterimanya dari Rodrigo Garro dalam perlawanan antara Ciclon dan Talleres de Cordoba untuk Liga Profesional pada 17 April lalu.

Selepas insiden ketika pergelutan bola bersama pemain tengah Talleres, Rodrigo pada minit ke-28 perlawanan itu, Elias dikejarkan ke hospital dengan segera disebabkan pendarahan berterusan.

Rentetan kejadian menimpa bekas pemain Newell's Old Boys itu, Kelab San Lorenzo mengeluarkan laporan perubatan yang menunjukkan bahawa Elias patah tulang hidung dan trauma kepala tanpa hilang kesedaran.

Walaupun pada awalnya Elias dikhabarkan tidak dapat diturunkan dalam perlawanan seterusnya ekoran kecederaan tersebut, namun pada 21 April perlawanan Copa Sudamericana, San Lorenzo menurunkannya dalam perlawanan tersebut.

Dengan isu kecederaan yang baru sahaja menimpa Elias itu, penyokong Harimau Selatan menzahirakan kerisauan mereka jika pemain tersebut adalah pengganti ideal menggantikan Leandro ataupun sebaliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram