[VIDEO] Arif Aiman luar biasa tapi belum sedia ke Eropah — Penganalisis AS


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Arif Aiman meledak dua jaringan gol pada aksi menentang BG Pathum. — Facebook/JDT

PERMATA bola sepak tanah air, Arif Aiman Hanapi terus mencipta namanya di peringkat Asia apabila menjaringkan dua jaringan gol untuk membantu Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United dengan keputusan 4-2 dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Dua jaringan diledak Arif Aiman dan satu jaringan dari Juan Muniz serta Bergson da Silva berhasil memastikan tiga mata dimiliki oleh skuad bimbingan Esteban Solari dan sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama baru-baru ini.

Sejurus kecemerlangan pemain berusia 21 tahun itu membuka akaun jaringan di kejohanan tertinggi Asia tersebut, ramai pihak luar mula membuka mata melihat bakat dari Malaysia dan mula memantau sama ada Arif Aiman sesuai berkelana di bumi Eropah.

Meskipun ramai yang berpendapat bahawa pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu perlu berhijrah ke Eropah untuk mendapatkan pengalaman namun tidak bagi penganalisis data bola sepak, Ben Griffis.

WhatsApp Image 2023-10-04 at 19.08.36-2

Tangkap layar pendapat daripada Griffis.

Menerusi komen di ruangan media sosial X, penganalisis data bola sepak berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat itu berpendapat bahawa Korea Selatan dan Jepun adalah destinasi lebih sesuai untuk Arif Aiman.

Griffis tidak menolak kualiti yang dimiliki penyerang sayap Harimau Malaya itu namun dia berpendapat, Arif Aiman belum bersedia untuk mengembangkan karier di saingan liga Eropah dałam masa terdekat ini.

“Dia (Arif Aiman) belum bersedia untuk ke liga Eropah, tetapi dia kelihatan sangat luar biasa. Saya fikir dia sudah pasti bersedia untuk liga Jepun atau Korea yang akan menjadi cabaran dan serupa dengan kebanyakan liga UEFA. Mungkin lebih mudah untuk menyesuaikan diri daripada ke UEFA dengan segera.

“Liga Belgium/ Scandinavia juga baik untuk dia bagi tempoh 1.5 hingga 2 tahun,” katanya ketika membalas ciapan yang dimuat naik oleh ejen pemain bola sepak yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), R.D. Football Scout.

Menerusi laman X, R.D. Football Scout telah memuat naik video Arif Aiman mengelecek dua pemain Kawasaki Frontale sehingga ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan.

“Sahabat saya ini di Malaysia, betapa bagusnya Arif Aiman sebenarnya?

"Adakah anda rasa dia (Arif) bersedia untuk bermain di Eropah" soalnya dalam ciapan tersebut.

Masa depan Arif Aiman sering menjadi topik perbualan penyokong, yang mana kebanyakan mereka menyarankan agar bintang muda itu beraksi di Eropah untuk menimba pengalaman dan mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Arif Aiman dipercayai sememangnya sudah berada dalam radar sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat yang berpangkalan di Sepanyol selain dikaitkan dengan kelab Liga Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram